Adam Radlan akan tampil bantu siasatan projek Lebuhraya MEX 2

KUALA SELANGOR, 10 Disember – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, telah menyatakan komitmennya untuk tampil membantu siasatan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya (MEX 2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kenyataan Adam Radlan akan diambil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh terdekat ini, beliau telah kembali menghubungi SPRM. Peguamnya juga telah mengemukakan surat kepada kami untuk memberikan jaminan. Saya tidak mempunyai tarikh tepat, namun beliau akan hadir untuk memberikan keterangan. Beliau termasuk dalam kategori lebih kurang 29 individu lain yang akan dipanggil sebagai saksi dalam penyiasatan berkaitan pertuduhan kes MEX 2,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Puncak Alam, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan, Adam Radlan dicari bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan MEX 2 ke KLIA bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.