JERANTUT, 16 Disember– Hampir 98 peratus daripada 43,000 peneroka FELDA di Pahang telah menerima surat hak milik tanah masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya sedang menyegerakan baki 2 peratus pemilikan sama kepada peneroka secara berperingkat.
Menurut beliau, penyerahan hak milik tanah FELDA itu adalah pengiktirafan terhadap golongan peneroka yang membangunkan tanah kosong hingga menjadi kawasan yang subur dan makmur.
“Kepada mereka yang menerima tanah hak milik ini, saya berharap agar mereka menjaga tanah tersebut dengan baik serta meneruskan usaha-usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan hasil yang sedia ada. Yang paling penting, jangan sesekali berhasrat untuk menggadai atau menjual tanah ini kepada pihak lain,” kata Datuk Seri Wan Rosdy kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengulas lanjut isu pertikaian beberapa tanah FELDA yang berlaku di Terengganu.
Menurut beliau, pihaknya di Pahang sentiasa memastikan prosedur dilaksana dengan telus daripada pelbagai pihak.
Ia bagi mengelak berlaku salah faham di peringkat akar umbi sekali gus menyusahkan golongan peneroka.
“Tatakelola perlu dipatuhi, maksudnya kita tidak boleh bertindak tergesa-gesa. Semua maklumat dan proses perlu diperoleh dengan teliti, daripada FELDA ke Pejabat Tanah, kemudian ke Pejabat Tanah ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dan akhirnya dibawa ke peringkat pengurusan serta Exco untuk diputuskan,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik kepada peneroka FELDA Lepar Utara 1, 2 dan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar Utara, di sini.
Turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

