KUALA LUMPUR, 16 Disember – Sebanyak 9,425 peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada prospek penjara melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti, dengan 6,165 prospek berjaya memperoleh pekerjaan setakat semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata Jabatan Penjara menjalinkan kerjasama strategik dengan 735 majikan melalui program Corporate Smart Internship (CSI) yang melibatkan Orang Diparol, Orang Bebas Berlesen, Penghuni Bebas Lesen dan Orang Diselia Industri.
“Program ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, malah membekalkan prospek dengan kemahiran relevan mengikut keperluan pasaran kerja semasa, selain mendapat sokongan komuniti dan pemantauan berterusan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar di Dewan Negara.
Beliau menambah inisiatif ini turut membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan dan pertumbuhan ekonomi domestik.
Penglibatan prospek dalam program CSI menunjukkan trend memberangsangkan, dengan 10,476 prospek terlibat pada 2022, diikuti 6,696 prospek pada 2023, dan meningkat semula kepada 9,700 prospek pada 2024.
Sehingga semalam, jumlah itu meningkat kepada 14,612 prospek, mencerminkan peningkatan minat syarikat dan keberkesanan pelaksanaan program.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar berkata peningkatan penyertaan ini menunjukkan keyakinan industri terhadap keberkesanan program serta kesediaan syarikat memberi peluang kedua kepada prospek.
Beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia akan terus mempergiat usaha melibatkan lebih banyak syarikat dan komuniti bagi memastikan prospek pulih sepenuhnya dan tidak kembali ke penjara.

