KUALA LUMPUR, 17 Disember – Sebanyak 796 hektar kebun getah terbiar di Sarawak telah berjaya dipulihkan sejak pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar
Ia sekali gus memberi manfaat langsung kepada 750 orang pekebun kecil di seluruh negeri itu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagi tahun 2025, sebanyak 553 hektar kebun getah terbiar telah berjaya dipulihkan, manakala 365 hektar lagi kini dalam proses pemulihan.
“Setakat 2025, daripada peruntukkan RM3.3 juta, seluas 553 hektar kebun telah dipulihkan dan 365 hektar lagi sedang dalam proses pemulihan yang melibatkan 608 orang pekebun kecil.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 796 hektar kebun getah telah berjaya dipulihkan di Sarawak dengan kos RM3.956 juta yang melibatkan 750 pekebun kecil sepanjang pelaksanaan program pemulihan getah terbiar di Sarawak,” katanya ketika menjawab soalan senator Michael Mujah Lihan, di Parlimen.
Tambahnya, Program turut memastikan tanah pertanian dimanfaatkan secara optimum melalui sokongan input dan pemantauan Lembaga Kemajuan Industri Getah.
Sekali gus, membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kebun serta kestabilan pendapatan pekebun kecil di Sarawak.

