735 juta e-Invois dikeluarkan, kerajaan tekankan pendigitalan percukaian secara inklusif

KUALA LUMPUR, 24 November – Sebanyak 735 juta e-Invois berjaya dikeluarkan setakat ini, sekali gus menunjukkan tahap penerimaan yang sangat baik dalam kalangan pembayar cukai terhadap pelaksanaan inisiatif pendigitalan percukaian negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata sehingga 21 November 2025, seramai 108,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois, termasuk 64,317 pembayar secara mandatori merangkumi fasa pertama hingga ketiga, serta 44,000 lagi secara sukarela daripada fasa keempat dan kelima.

“Pelaksanaan e-Invois memberi pelbagai manfaat kepada perniagaan seperti meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan proses manual dan kesilapan, serta memudahkan pengemukaan borang nyata cukai.

“Namun, pelaksanaan ini masih di peringkat awal kerana kerajaan memberi tempoh peralihan kepada perniagaan bagi membuat persediaan sepenuhnya. Keberkesanannya hanya dapat dinilai selepas pelaksanaan mandatori sepenuhnya,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

2411 PAR LIM E INVOIS 2Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/RTM

Menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, Lim menjelaskan kerajaan komited memastikan pelaksanaan e-Invois berlaku secara tersusun dengan tempoh peralihan enam bulan bagi setiap fasa.

Kerajaan turut mengambil kira kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan melaksanakan fasa khas bagi perniagaan berjualan tahunan di bawah RM5 juta.

Fasa keempat bermula 1 Januari 2026 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, manakala fasa kelima bermula 1 Julai 2026 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM500,000 hingga RM1 juta.

Peniaga kecil dengan jualan di bawah RM500,000 setahun dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois bagi mengelakkan mereka menanggung kos tambahan.

Lim berkata pendekatan ini bertujuan memastikan pendigitalan percukaian dapat dijalankan secara inklusif tanpa membebankan peniaga kecil.

Beliau menambah kerajaan menyediakan pelbagai platform sokongan seperti Portal MyInvois, aplikasi MyInvois, dan Sistem MyInvois e-POS bagi memudahkan pengguna mengeluarkan e-Invois secara langsung semasa transaksi.

“LHDN juga menjalankan program libat urus serta menyediakan tutorial dan panduan pengguna bagi membantu peniaga kecil dan PMKS melaksanakan e-Invois dengan lebih mudah,” jelas Lim.