5,741 notis dikeluarkan dalam Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan

JOHOR BAHRU, 10 Disember – Sejumlah 5,741 notis (P) 22 dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan 2025 dari 2 Disember hingga hari ini.

Daripada jumlah itu, 2,382 notis dikeluarkan oleh JPJ Negeri Sembilan, 1,628 notis oleh JPJ Negeri Melaka dan 1,731 notis oleh JPJ Negeri Johor hasil pemeriksaan ke atas 26,358 buah kenderaan.

Pengarah JPJ Negeri Johor, Zulkarnain Yasin berkata, antara kesalahan tertinggi yang dikesan ialah gagal memiliki lesen memandu melibatkan 1,601 notis, diikuti 1,371 notis kerana gagal memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), serta 1,175 notis kerana tiada perlindungan insurans.

Sebanyak 77 buah kenderaan turut disita atas kesalahan tidak selamat atau tidak layak berada di jalan raya.

“Suka untuk saya nyatakan bahawa hasil analisis yang dijalankan, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus POBC. Jadi hasil yang kita dapat, kita telah mencapai POBC iaitu Perception of Being Cought sejumlah 88% daripada jumlah yang kita sasarkan. Jadi ini satu kejayaan dalam Ops yang telah kita jalankan selama tempoh yang telah kita nyatakan,” katanya.

Beliau menyatakannya dalam Sidang Media Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan 2025 di Plaza Tol Skudai (Arah Selatan) di sini.

Operasi itu melibatkan 146 anggota dari tiga negeri, iaitu JPJ Johor, JPJ Melaka dan JPJ Negeri Sembilan dengan memfokuskan kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat, peraturan keselamatan serta kenderaan dipandu selamat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah dibawahnya.