KUALA LUMPUR, 5 Disember – Perkembangan banjir di Perak, Selangor, Perlis dan Pahang semakin pulih setakat malam ini, dengan 27 Pusat Pemindahan Sementara, (PPS) masih beroperasi yang menempatkan 1,848 penduduk terjejas banjir daripada 536 keluarga.
Menurut kemaskini Portal Infobencana JKM, setakat 9.30 malam, di Perak 1,459 penduduk terjejas masih berlindung di 11 PPS yang masih beroperasi, di Hilir Perak, Manjung dan Bagan Datuk.
Satu PPS di Hilir Perak telah ditutup.
Di Selangor pula, 6 PPS masih beroperasi di daerah Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam menempatkan 346 penduduk terjejas daripada 116 keluarga.
Sementara itu, 8 PPS masih beroperasi di Perlis, melibatkan tiga daerah masing-masing Padang Besar, Arau dan Kangar menempatkan 34 penduduk terjejas daripada 11 keluarga.
Dan di Pahang, 7 penduduk terjejas masih berada di 1 PPS di Kuantan.
Laman web publicinfobanjir memaklumkan paras air semua sungai utama di negeri-negeri terlibat menunjukkan bacaan di bawah paras bahaya.

