252 aduan pemberi pinjam wang, KPKT keluarkan 83 kompaun

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 252 aduan diterima Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melibatkan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu, sebanyak 223 kertas siasatan telah dibuka, merangkumi 83 kompaun dikeluarkan, 4 kes dibawa ke pertuduhan, 130 kes masih dalam siasatan, manakala 6 kes diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan status perlesenan syarikat pemberi pinjam wang melalui portal i-Kredit.com sebelum berurusan dengan mana-mana pengendali.

“Kementerian turut memperkukuhkan elemen pengawalseliaan dengan memperkenalkan syarat perlesenan baharu bagi mengelakkan penipuan dan manipulasi, termasuk mewajibkan penyerahan wang pinjaman kepada peminjam dibuat melalui pindahan dana elektronik (EFT) berkuat kuasa 1 April 2024,”katanya.

Tambahnya, dalam tempoh sama, sebanyak 738 premis pemberi pinjam wang berlesen telah dipantau bagi memastikan pematuhan penuh terhadap Akta 400.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pemberi pinjam wang berlesen terus kekal teratur, telus dan tidak membebankan pengguna.