KULAI, 5 Oktober – Kementerian Komunikasi mengenal pasti kira-kira 224 lokasi bagi usaha memperkasa kemudahan internet, seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, kira-kira 119 lokasi sedang dinaik taraf, 73 masih menunggu kelulusan dan 32 telah selesai proses naik taraf.
Beliau berkata, ia merangkumi tujuh jenis kawasan tumpuan, antaranya institusi pengajian tinggi awam, kem askar, hospital dan tempat umum yang lain.
“Jadi Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan perlu memantau kawasan-kawasan ataupun kita panggil kawasan fokus ini untuk memastikan bahawa untuk kawasan fokus ini, saya rasa dengan jelasnya kita tahu dan faham kenapa tempat tersebut ada keperluan.
“… Untuk buat tambah baik seperti kawasan acara kerana biasanya ia bukan setiap hari ada orang yang sangat ramai, tetapi semasa acara berlakunya di sana memnag kita nampak bahawa ada satu orang yang ramai, yang datang mungkin mencecah 5,000, 10,000 hingga 12,000. Jadi logiknya untuk kita tambah baik kawasan-kawasan itu”, katanya.
Selain itu, naik taraf itu turut melibatkan tempat pelancongan, lebuh raya dan stadium.
Beliau ditemui semasa Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event-Run for The Future 2025 di Hutan Bandar, Kulai, Johor.

