22 calon SPM SMK Suai terkandas akibat banjir

BEKENU, 9 Disember – Seramai 22 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai terkandas selepas rumah panjang mereka dilanda banjir sejak malam tadi.

Mereka merupakan pelajar yang menduduki kertas Geografi yang dijadualkan pada pagi tadi.

Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Suai Niah, Wong Ling Ing berkata koordinasi pergerakan pelajar dilakukan segera bagi memastikan tiada calon tercicir daripada peperiksaan.

“Ya, saya datang sini untuk menunggu dua orang lagi pelajar SPM yang ambil mata pelajaran Geografi pagi ini. Selepas ini kami akan bawa, dan pagi tadi kami telah membawa seorang balik ke kampus,” katanya ketika ditemui di Simpang Saeh hari ini.

Beliau berkata seorang pelajar turut ditempatkan di SMK Bakong bagi memudahkan pergerakan ke pusat peperiksaan berikutan laluan jalan yang terjejas akibat banjir.

Tambah beliau, guru-guru SMK Suai telah digerakkan ke beberapa lokasi berasingan bagi mengambil pelajar yang menduduki peperiksaan minggu ini.

Beliau berharap tiada calon SPM terlepas menduduki kertas peperiksaan pada minggu hadapan.