KUALA LUMPUR, 10 Disember 2025 – Sebanyak 1,333 projek perumahan swasta yang terbengkalai berjaya dipulihkan sejak penubuhan Pasukan Petugas Khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Daripada jumlah itu, 104 projek yang sebelum ini “sakit” ditaraf semula sebagai projek lancar, manakala 1,201 projek sakit dan 28 projek terbengkalai berjaya dipulihkan sepenuhnya.
Keseluruhannya melibatkan 159,638 unit rumah dengan nilai Gross Development Value (GDV) RM126.47 bilion.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor perumahan negara.
“Ini satu pencapaian amat memerangsangkan. Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa program bersesuaian akan dijalankan untuk bertemu pembeli unit rumah di projek yang telah diselamatkan ini, sebagai tanda keberhasilan Kerajaan Madani,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan perumahan negara berjalan lancar dan mampan.

