103,500 anggota pelbagai agensi kini siap siaga hadapi bencana – NADMA

PUCHONG, 24 November – Sejumlah 103,500 anggota daripada pelbagai agensi kini bersiap siaga sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk operasi bantuan dan penyelamatan berskala besar.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikoordinasikan bagi memastikan operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Dari segi keanggotaan, seramai 4,770 anggota Tentera, 12,600 anggota PDRM, 15,640 anggota Bomba, 47,100 anggota RELA, dan 15,390 anggota APM telah bersiap siaga. Di samping itu, pejabat daerah di peringkat negeri juga mempunyai ramai anggota yang turut terlibat.

“Dari segi aset, kita mempunyai 2,555 bot yang sedia digerakkan pada bila-bila masa, 1,843 kenderaan 4×4, 1,172 lori, serta 25 helikopter. Selain itu, kita turut menyediakan 34,092 vest untuk kegunaan petugas. Kesemua aset ini berada dalam keadaan baik dan sudah pun ditempatkan di lapangan di seluruh negara,” kata beliau selepas lawatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ke pusat simulasi bencana di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Tambahnya, NADMA juga menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Kelantan untuk membantu mengawal situasi banjir di negeri itu.

Kelantan kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lebih 8,000 penduduk terkesan melibatkan empat daerah iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.