GUA MUSANG, 6 Disember – Sejumlah 25 tan makanan diagihkan kepada 1,000 keluarga orang asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, keadaan cuaca tidak menentu menjejaskan pendapatan ketua keluarga, kerana mereka tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.
Menurut Datuk Mohd Syahbuddin, peruntukan sebanyak RM100,000 bagi mengagihkan 1,000 bakul makanan kepada ketua isi rumah RPS Kuala Betis.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak SYT Cendana kerana telah bermurah hati menderma 1,000 bakul makanan kepada 1,000 ketua isi rumah di Kuala Betis.
“Ini merupakan satu inisiatif yang baik kerana dapat membantu masyarakat orang asli menyediakan kelengkapan mereka di musim monsun ini”, katanya.
Sementara itu, penduduk orang asli mengucapkan terima kasih dengan bantuan bakul yang disifatkan cukup tepat diberikan ketika musim tengkujuh.
“Disebabkan hujan lebat, kami sukar pergi ke ladang, menoreh atau masuk hutan. Masyarakat terpaksa berdiam di rumah, jadi bantuan daripada syarikat di bawah kepimpinan ADUN Galas ini sangat bermakna”, kata Penghulu Kampung Merlong, RPS Kuala Betis, Ibrahim Marijah.
“Bantuan ini sangat meringankan beban kami. Kebanyakan penduduk bekerja sendiri dengan syarikat pekebun, menoreh getah atau mencari hasil hutan. Musim hujan seperti ini memang menyukarkan aktiviti luar”, ujar penduduk Orang Asli Kampung Podek, RPS Kuala Betis, Romani Damak.
Mereka ditemui selepas Program Sumbangan Bakul Makanan daripada Syarikat SYT Cendana Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Galas kepada masyarakat Orang Asli di Dewan Bonda Yah, RPS Kuala Betis.

