Terapi alam sekitar, alternatif baharu tangani isu kesihatan mental

SAUDARA PENGARANG

Minat terhadap terapi alam sekitar atau ecotherapy semakin meningkat seiring dengan kesedaran masyarakat Malaysia terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental, khususnya dalam berdepan tekanan kerja, gaya hidup serba pantas dan peningkatan paras stres harian.

Pakar psikologi kesihatan memaklumkan bahawa pendedahan kepada alam semula jadi terbukti membantu menurunkan paras hormon stres kortisol, menstabilkan emosi serta meningkatkan fokus dan ketenangan mental.

Dapatan ini selari dengan pelbagai kajian antarabangsa yang menunjukkan persekitaran hijau mampu mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik, mengurangkan tekanan darah serta memberi rangsangan deria positif melalui warna hijau dan bunyi semula jadi seperti kicauan burung dan aliran air.

Sebagai negara megabiodiversiti, Malaysia dilihat berada pada kedudukan strategik untuk membangunkan terapi hutan secara lebih tersusun dan berasaskan bukti saintifik, sekali gus menyokong agenda kesihatan awam negara.

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah Program Jejak Terapi Hutan di Taman Eko-Rimba Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan menerusi kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK). Program tersebut menekankan aktiviti berjalan santai di dalam hutan tropika, digabungkan dengan pemerhatian sensori dan interaksi langsung dengan elemen alam bagi merangsang proses pemulihan mental.

Penilaian awal mendapati peserta menunjukkan peningkatan tahap ketenangan, tumpuan dan penurunan gejala stres selepas mengikuti sesi terapi yang dijalankan secara berstruktur.

Dari sudut penyelidikan, Malaysia turut mencatat perkembangan penting apabila kajian awal pada tahun 2017 oleh Dr. Mohamed Daniel Mohamed Mokhtar dan Dr. Nor Akmar Abdul Aziz dari Universiti Putra Malaysia membuka jalan kepada penggunaan hormon kortisol air liur bagi menilai kesan fisiologi pendedahan kepada kawasan hijau.

Kajian tersebut membuktikan bahawa ruang hijau jauh lebih berkesan dalam mengurangkan stres berbanding persekitaran bandar yang padat dan bising. Penemuan berkenaan mengukuhkan kepentingan memasukkan elemen hijau sebagai komponen utama dalam perancangan bandar dan dasar kesihatan awam negara.

Bagaimanapun, pakar menegaskan tidak semua amalan berasaskan alam wajar diklasifikasikan sebagai terapi tanpa sokongan bukti saintifik. Antara amalan yang sering diperkatakan ialah “mandi embun”, yang masih belum disokong kajian empirikal di Malaysia.

Menurut Muhammad Noh Mohd Sidi, 85 tahun, atau lebih dikenali sebagai Pak Lang, mandi embun diamalkan pada awal pagi tanpa berbaju sambil menepuk daun dan dipercayai dapat menyegarkan tubuh. Namun, ketiadaan data saintifik yang jelas berkaitan kaedah, tempoh pendedahan serta parameter kesihatan menjadikan amalan ini belum sesuai dikategorikan sebagai intervensi terapeutik.

Dalam masa sama, perkembangan terapi hutan di negara ini terus menunjukkan potensi memberangsangkan. Program seperti Jejak Terapi Hutan di Jeram Linang menjadi contoh bagaimana rekreasi alam tropika dapat digabungkan dengan pendekatan kesejahteraan mental secara profesional.

Peserta melaporkan peningkatan mood positif, penurunan tahap stres serta hubungan yang lebih mendalam dengan alam selepas menyertai program tersebut.

Pakar menegaskan bahawa kemajuan terapi alam sekitar di Malaysia memerlukan penyelidikan yang lebih menyeluruh, sistematik dan berskala besar. Justeru, kekayaan biodiversiti dimiliki Malaysia, sebenarnya berpotensi muncul sebagai pusat rujukan terapi hutan di Asia Tenggara.

Namun usaha itu perlu disokong data jangka panjang bagi memastikan setiap intervensi yang diperkenalkan benar-benar berkesan dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NOR AKMAR ABDUL AZIZ
Dr. Nor Akmar Abdul Aziz
Pensyarah Kanan
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
e-mel: norakmar@upm.edu.my