SAUDARA PENGARANG
Sempena sambutan Hari OKU Sedunia, perbincangan mengenai masa depan inklusiviti di Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada isu kebajikan semata-mata. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM1.4 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk memperkukuh sokongan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Peruntukan ini merangkumi bantuan untuk OKU kronik terlantar, Elaun Pekerja OKU serta peluasan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di seluruh negara.
Pengumuman Perdana Menteri mengenai pelepasan cukai pendapatan bagi program intervensi awal serta potongan cukai berganda kepada syarikat yang menaja latihan pekerja jagaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memantapkan ekosistem sokongan OKU. Langkah ini bukan sahaja memberi perlindungan sosial, tetapi menandakan kesungguhan negara memastikan OKU tidak tercicir daripada pembangunan arus perdana.
Namun, dalam arus usaha pemulihan dan kebajikan ini, terdapat satu ruang penting yang masih kurang diberi perhatian iaitu rekreasi luar yang inklusif. Walaupun tumpuan belanjawan banyak diberikan kepada aspek kebajikan dan pemulihan, sudah tiba masanya sebahagian daripada peruntukan besar ini turut diperluaskan manfaatnya dan disalurkan untuk pembangunan program rekreasi luar inklusif.
Rekreasi luar bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk aktiviti sosial dan psikologi yang mempunyai nilai pembangunan diri dan pemerkasaan yang sangat besar untuk golongan OKU, bahkan turut berupaya mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap mereka.
Program rekreasi inklusif memberi peluang kepada OKU untuk membina keyakinan diri, memperkukuh hubungan sosial dan meningkatkan kesejahteraan mental. Dalam masa yang sama, ia mendidik masyarakat untuk melihat keupayaan, bukan kekurangan.
Apabila orang ramai menyertai aktiviti luar bersama OKU, seperti mendaki, berkhemah, berkayak atau berjalan alam, nilai empati dan persefahaman akan terbentuk secara semula jadi. Interaksi dalam suasana “outdoor” menjadi satu bentuk pendidikan sosial tidak formal yang menjadikan manusia lebih memahami manusia, melalui suatu pengalaman yang tidak boleh diganti dengan ceramah atau kempen kesedaran.
Kajian UNICEF (2018) menunjukkan kurangnya kefahaman masyarakat terhadap OKU, ini boleh berpunca daripada jarangnya interaksi dan penglibatan sosial antara kedua-dua kumpulan ini. Justeru, penyertaan bersama dalam aktiviti rekreasi luar dapat menjadi medium perubahan sosial yang efektif.
Apabila masyarakat menyaksikan sendiri kemampuan OKU mendaki, berkhemah atau menyertai aktiviti cabaran, ia mampu menghapuskan stigma dan menggantikan rasa simpati dengan rasa hormat. Aktiviti sedemikian bukan sekadar riadah, tetapi satu bentuk pendidikan sosial yang membina empati, keterbukaan, penerimaan dan kesedaran komuniti. Inilah nilai transformasi yang diinginkan; perubahan persepsi melalui pengalaman dan bukan andaian.
Peruntukan besar untuk OKU juga wajar digunakan bagi meningkatkan kemudahan mesra OKU di kawasan rekreasi dan pelancongan alam. Laluan denai berturap, tandas mesra pengguna, papan tanda mudah dibaca, serta penyediaan fasilitator dan pengendali aktiviti terlatih dalam aspek keselamatan dan komunikasi inklusif perlu diberi perhatian.
Pendekatan “reka bentuk sejagat” (universal design) bukan sahaja memudahkan OKU, tetapi turut memberi manfaat kepada warga emas, keluarga dengan anak kecil, dan pelancong. Pendek kata, apabila sesuatu tempat mesra OKU, ia sebenarnya mesra semua.
Rekreasi luar inklusif juga memberi ruang kepada OKU untuk menunjukkan potensi sebenar mereka; bukan sekadar penerima bantuan, tetapi penyumbang aktif dalam masyarakat. Dengan latihan dan peluang yang sesuai, ramai OKU boleh menjadi fasilitator, jurulatih atau pemandu alam semula jadi yang memberi inspirasi kepada orang lain.
Inisiatif ini selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan nilai empati, ihsan dan kesejahteraan sejagat. Ia juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) serta SDG 10 (Mengurangkan ketidaksamarataan dan Mengalakan Keterangkuman Sosial).
Menjadikan rekreasi luar inklusif satu kenyataan bukanlah satu projek mewah, tetapi pelaburan jangka panjang dalam Pembangunan sosial negara ke arah pembentukan masyarakat penyayang. Apabila semua orang dalam masyarakat, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan, dapat menikmati peluang berekreasi dengan selamat, bermaruah, dan bermakna, kita bukan sahaja memperkasa OKU, tetapi juga memperkayakan nilai kemanusiaan dalam diri setiap rakyat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Mohd Aswad Ramlan
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
e-mel: aswad@upm.edu.my

