SAUDARA PENGARANG
Populasi Negara dianggarkan akan mencecah 36.5 juta penduduk menjelang tahun 2030 melibatkan peningkatan sebanyak 1.1%. Pertambahan ini dijangka akan memberi penekanan terhadap permintaan makanan yang akan terus meningkat saban tahun. Penghasilan sumber makanan domestik sudah pasti tidak dapat menampung kepada permintaan ini menyebabkan aktiviti pengimportan terpaksa dilakukan dengan skala besar.
Terbaharu, menurut statistik tenaga buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2024, dari 16.96 juta penduduk yang bekerja, hanya 4.0% terlibat dalam sektor pertanian, majoriti dalam sektor perkhidmatan & pembinaan. Daripada segi pecahan umur mereka yang terlibat dalam sektor pertanian pula menunjukkan kumpulan majoriti yang terlibat dalam aktiviti pertanian adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas iaitu sebanyak 45.4 peratus bersamaan 458,263 orang.
Selebihnya adalah golongan petani muda yang terdiri daripada kumpulan berusia 31 hingga 45 tahun (190,952 orang) dan 15 hingga 30 tahun seramai 33,195 orang (3.3 peratus). Melihat kepada struktur demografi para pengusaha pertanian dalam negara yang semakin menua memberi satu konotasi yang serius akan keperluan mendesak untuk meremajakan sektor berkenaan.
Sekiranya melihat dari segi kadar upah, amnya pendapatan sektor pertanian secara relatifnya lebih rendah berbanding sektor lain. Namun, peranan sektor pertanian tidak boleh dinafikan terutamanya bagi memastikan keterjaminan dan kestabilan makanan. Majoriti golongan petani yang berusia menyebabkan penggunaan teknologi moden tidak dioptimumkan dalam sektor pengeluaran makanan sekaligus membantutkan pengeluaran secara komersial.
Peranan mereka ini tidak boleh disisihkan secara total kerana pengalaman dan kematangan mereka dalam industri ini sangat diperlukan untuk anak muda berinovasi dan meningkatkan kecekapan aktiviti pertanian pada masa hadapan. Sebagai contoh, nelayan berusia yang berpengalaman mampu menilai keadaan angin, arus laut serta pergerakan bulan dalam menentukan lokasi tangkapan serta keselamatan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan. Petani serta penternak berusia pula dengan sekali imbas secara visual mampu menilai kualiti serta kesihatan tanaman dan ternakan mereka.
Ilmu-ilmu ini haruslah diterjemahkan dalam bentuk data raya melalui penggunaan IoT dan teknologi terkini yang dilihat mampu meningkatkan penglibatan golongan muda. Hasilnya, golongan muda ini tidak lagi perlu mengulangi kesilapan lama dan ini akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pengeluaran bagi menjana pendapatan lebih tinggi.
Penjenamaan semula kata nama pekerjaan melibatkan aktiviti pertanian turut dilihat mampu menarik minat golongan muda. Perkatan petani, penternak dan nelayan perlu penjenamaan semula kepada agroprenur (petani/penternak) dan akuaprenur (nelayan). Stigma menjenamakan petani, penternak serta nelayan sebagai pekerjaan 3D dijangka dapat dikikis sedikit demi sedikit pada masa hadapan.
Kerajaan juga diharapkan dapat memberi suntikan kewangan yang lebih kepada institusi pengajian tinggi dalam proses pembangunan bakat terhadap pertanian masa hadapan. Kekangan kewangan dalam memantapkan infrastruktur pertanian moden di universiti berkaitan dilihat sebagai salah satu kekangan meningkatkan penglibatan belia graduan dalam sektor ini.
Universiti Putra Malaysia telah menghasilkan Blueprint Keterjaminan Makanan yang antaranya memberi tumpuan dan penekanan dalam menghasilkan pembangunan bakat yang kompetitif untuk semua bidang melibatkan pertanian dan keterjaminan makanan. Sudah pasti dalam merealisasikan agenda ini, suntikan dana tambahan daripada kerajaan dirasakan sangat perlu dalam pada kita bersama memastikan keterjaminan makanan negara terjamin dalam satu tempoh yang panjang.
Akhir sekali, antara faktor penyertaan yang rendah oleh golongan belia mungkin disebabkan pelbagai kekangan seperti persepsi yang kurang baik terhadap sektor agromakanan dan persekitaran yang kurang kondusif dari segi cabaran mendapatkan bantuan kewangan.
Justeru itu, penglibatan pemberi dana seperti AGROBANK dalam membantu menjayakan inisiatif ini seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dilihat sebagai langkah tepat dan terbaik dalam menyediakan dana pembiayaan bagi perolehan prasana dalam merevolusikan industri 4.0 dalam aktiviti pertanian bagi pengeluaran makanan negara dan sudah pastinya akan menjadi pemangkin kepada aktiviti pertanian secara pintar berskala besar yang dipelopori oleh pemain-pemain muda industri agromakanan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin
Pengarah
Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
e-mail: anjas@upm.edu.my

