SAUDARA PENGARANG
Beberapa tahun kebelakangan ini, istilah soft parenting atau pendidikan keibubapaan insani menjadi pilihan ramai ibu bapa muda. Kaedah ini menekankan komunikasi lembut, memahami emosi anak dan mengelakkan hukuman yang melampau.
Ia sering dibandingkan dengan gaya “Asian parenting” iaitu tegas, berdisiplin, dan kadang-kadang agak keras, tetapi terbukti menghasilkan generasi yang lasak dan tidak mudah mengalah.
Namun, kita melihat satu realiti baharu, anak-anak zaman kini lebih mudah murung, sensitif, takut gagal dan cepat ‘burnout’ atau mengalami keletihan mental. Maka timbul persoalan, adakah pendidikan keibubapaan insani telah difahami secara kurang tepat.
Pendidikan Keibubapaan Insani atau Permisif
Ada ibu bapa menyangka pendidikan keibubapaan insani bermaksud, ibu bapa tidak boleh marah, tidak boleh menegur, tidak perlu disiplin dan semuanya mesti mengikut kemahuan anak.
Hakikatnya apabila ini berlaku, pendidikan keibubapaan insani berubah menjadi pendidikan secara permisif iaitu tiada batasan dan tiada struktur. Ini akhirnya melemahkan daya tahan anak dan menjadikan mereka tidak bersedia menghadapi dunia sebenar yang penuh cabaran.
Pendidikan Keibubapaan Asia: Kelebihan dan Kekurangan
Gaya keibubapaan Asia pula biasanya lebih tegas. Orang asia terdahulu membesar dengan disiplin yang ketat dan hasilnya mereka tahan lasak, kuat bekerja dan tidak mudah rapuh. Namun, jika keterlaluan, ia boleh melahirkan anak yang suka memendam emosi, takut bersuara, atau terasa jauh dari ibu bapa.
Pendidikan Rasulullah SAW: Lembut dan Tegas
Pendekatan Islam bukan berlembut tanpa batas, bukan keras tanpa rahmat. Bahkan ia memerlukan keseimbangan dan hikmah.
1. Lembut Ketika Mendidik
Allah SWT berfirman: “Maka disebabkan rahmat dari Allah engkau (wahai Muhammad) bersikap lemah lembut kepada mereka.” (Ali ‘Imran: 159)
Ayat ini menunjukkan asas pendidikan dan tarbiah iaitu Rahmat dan kelembutan akan membina jiwa manusia.
2. Tegas dalam Perkara Prinsip
Walaupun lembut, Rasulullah SAW tidak pernah mengorbankan disiplin syariah atau membiarkan anak tanpa batas. Contohnya dalam hadis pendidikan solat Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan pukulan mendidik, bukan mencederakan) apabila mereka berumur sepuluh tahun jika mereka meninggalkannya.” (Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini bukan menggalakkan kekerasan, tetapi menunjukkan struktur, disiplin dan batas dalam pendidikan. “Pukulan” yang dimaksudkan ialah pukulan ringan, tanpa menyakitkan, sekadar memberi isyarat bahawa perkara itu penting.
Inilah model Pendidikan Islam, lembut dahulu, tegas kemudian apabila perlu, bukan sebaliknya. Bukan pula tegas atau lembut secara berterusan tanpa matlamat dan strategi.
Faktor Luar: Teknologi, Kurang Bermain dan Terlalu Melindungi
Masalah ketahanan mental kanak-kanak hari ini bukan hanya kerana gaya atau cara pendidikan keibubapaan, namun banyak faktor lain yang turut menyumbang. Antaranya penggunaan teknologi secara berlibahan:
- Teknologi berlebihan – Skrin mengurangkan interaksi sebenar, melemahkan kemahiran sosial dan fokus.
- Kurang bermain di luar – Dahulu, anak-anak belajar jatuh, bangun, bergaduh, berbaik. Hari ini, kebanyakan masa hanya duduk di rumah menyebabkan kemahiran mengurus stress atau tekanan tidak terbina.
- Ibu bapa terlalu melindungi – Niatnya baik, tetapi ia menyebabkan anak berdepan masalah seperti takut mencuba, takut gagal, tidak biasa menghadapi risiko kecil dan cepat berputuas asa apabila diuji, sedangkan ujian dan cabaran kecil membina jiwa yang kuat.
Keseimbangan: Kasih Sayang, Disiplin dan Tanggungjawab
Islam mengajar keseimbangan:
- Kasih sayang menyuburkan jiwa: Nabi mencium Hasan dan Husain (cucu baginda SAW) menunjukkan kasih dan sayang bukan hanya memanjakan.
- Disiplin membina tanggungjawab: Hadis suruhan anak mengerjakan solat menunjukkan latihan terancang sejak kecil.
- Amanah dalam menjaga keselamatan jiwa dan akhlak anak-anak: Pendidikan anak ialah suatu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, bukan ikut trend semata-mata.
Kesimpulannya, jika anak-anak hari ini lebih mudah ‘tertekan’, bukan bermakna pendidikan keibubapaan insani itu salah tetapi mungkin kerana pelbagai faktor lain antaranya, pelaksanaan tanpa disiplin, teknologi terlalu dominan, anak kurang pengalaman hidup sebenar, Ibu bapa terlalu melindungi tanpa bimbingan dan kurang mencontohi kaedah pendidikan Rasulullah SAW.
Hakikatnya, sebagai ibu bapa kita tidak perlu memilih antara “lembut sepenuhnya” atau “keras sepenuhnya”. Bagi umat Islam, kaedah terbaik adalah merujuk kepada pendekatan Islam, iaitulembut dalam tutur, tegas dalam prinsip dan bijaksana atau berhikmah dalam tindakan.
Inilah resepi melahirkan generasi yang berakhlak, berani, dan mempunyai daya tahan mental menghadapi dunia moden yang mencabar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD RASYIDI ALI
Pensyarah Syariah
Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Islam Selangor
e-mel: mohdrasyidi@uis.edu.my

