Minggu orientasi wajib, bukan aktiviti sia-sia untuk pelajar

SAUDARA PENGARANG

Menjadi kelaziman, kemasukan para pelajar baharu di mana-mana institusi pendidikan dalam negara sama ada di peringkat sekolah mahu pun universiti akan dimulakan dengan minggu orientasi. Minggu yang padat dengan pelbagai aktiviti itu sering kali membawa pengalaman bercampur-baur buat para pelajar.

Ada rasa seronok dan teruja, namun dalam masa yang sama, mereka mengakui ia meletihkan. Adakah berbaloi penat lelah yang mereka hadapi sepanjang minggu orientasi ini, atau mungkinkah ia sekadar rutin tahunan yang sia-sia?

Persoalan inilah yang mendorong saya merenung kembali hakikat dan nilai minggu orientasi dari sudut pengalaman saya sendiri. Saban tahun saya terlibat dalam jawatankuasa yang mengendalikan program berkenaan dalam pelbagai peranan daripada sekadar AJK biasa sehinggalah menyandang jawatan pengarah program selaku pegawai di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Pada 14 hingga 18 Julai 2025 telah berlangsung UM-WOW MSKP (Universiti Malaya – Week of Welcome, Minggu Suai Kenal Pelajar).

Segala aktiviti yang disusun bukanlah suatu yang tidak bermakna, sebaliknya kami ingin memastikan pelajar benar-benar bersedia, baik dari segi fizikal mahu pun mental, serta dapat beradaptasi dengan suasana dan tempat baharu sebelum mereka memulakan pengajian. Kelelahan yang dirasai bukan kerana keletihan tubuh dek jadual aktiviti yang padat semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh kepenatan minda yang sedang belajar menyesuaikan diri.

Pengalaman ini turut dizahirkan melalui deretan aktiviti yang disusun rapi sepanjang minggu tersebut. Dalam kesibukan menghadiri sesi demi sesi, pelajar sebenarnya sedang menelusuri kampus yang akan menjadi medan perjuangan akademik mereka. Jejak kaki mereka di dewan kuliah, bilik tutorial, makmal sains dan makmal komputer bukan sekadar lawatan, tetapi langkah awal mengenal medan supaya apabila pengajian bermula, mereka tidak tersesat mencarinya.

Bukan sekadar itu, pelajar juga dapat mengenali lokasi-lokasi penting lain seperti surau, perpustakaan, kafeteria, pejabat am serta pelbagai ruang sokongan pelajar yang bakal menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka. Tanpa sedar, orientasi mula menyusun peta kehidupan mereka. Bukan sekadar laluan akademik, tetapi juga perjalanan harian sebagai ahli komuniti kampus.

Malah, dalam perjalanan itu, pelajar tidak hanya mengenal tempat tetapi juga watak-watak penting yang menjadi tunjang utama universiti. Mereka mula mengenali wajah-wajah yang selama ini hanya disebut dalam buku panduan atau risalah maklumat. Barisan pengurusan universiti serta para pensyarah yang tampil bukan sekadar memperkenalkan diri, tetapi juga menyampaikan amanah, aspirasi dan harapan institusi kepada para pelajar baharu.

Ia juga membawa pelajar mengenali struktur kursus, syarat kehadiran, kaedah penilaian, cara pengiraan PNG dan PNGK, serta peraturan dan tatatertib sebagai seorang pelajar juga diperjelaskan. Setiap maklumat yang diterima bakal menjadi bekal dan panduan mereka sepanjang pengajian mereka.

Apa yang disampaikan oleh barisan pentadbir dan pensyarah kemudiannya diperkukuh dengan suara-suara daripada mereka yang pernah berada di tempat pelajar suatu masa dahulu. Para alumni yang hadir pula berkongsi pengalaman bercerita tentang strategi pembelajaran, cabaran yang dilalui, mengurus masa antara akademik, aktiviti dan urusan peribadi menjadi panduan yang dekat dengan jiwa pelajar kerana jarak umur yang dekat dan era pembelajaran yang sama.

Justeru, nasihat yang lahir bukan hanya sampai ke telinga, tetapi meresap ke hati. Cerita tentang masa depan turut menjengah dalam bentuk yang lebih besar apabila tokoh korporat dari dunia luar kampus tampil berkongsi. Pengalaman mereka mendaki tangga kejayaan mengajak pelajar melihat lebih jauh daripada keputusan peperiksaan.

Ia mengingatkan bahawa nilai seorang pelajar bukan semata-mata terletak pada akademik, tetapi juga pada kebolehan berfikir, kecekapan berkomunikasi, dan kekuatan jati diri. Hal-hal begini jarang dipelajari dalam kuliah, tetapi boleh diilhamkan dalam orientasi.

Apa yang berlangsung sepanjang minggu orientasi tidak hanya berlaku dalam dewan taklimat. Di luar sesi formal, pelajar mula membina ikatan bersama rakan-rakan yang baru sahaja dikenali. Beratur bersama, menunggu giliran, berbincang dalam kumpulan, ketawa dalam aktiviti; semua ini membentuk persahabatan yang biasanya mengambil masa yang lama.

Dalam orientasi, proses itu berlaku dengan lebih pantas, membina keakraban sejak awal. Dalam kelompok yang masih asing, muncul rasa percaya. Ia juga membantu membina keyakinan meskipun pelajar hanya mengikuti tempoh pengajian jangka masa pendek seperti di PASUM. Keakraban itu juga mungkin menjadi penopang paling penting dalam menghadapi hari-hari yang mencabar.

Akhirnya seluruh pengalaman ini; dari tempat yang dijejaki, orang yang ditemui, ilmu yang ditadah, hingga persahabatan yang terjalin berlangsung dalam keadaan penuh cabaran fizikal dan mental. Tetapi itulah cerminan sebenar kehidupan pelajar yang sedang menanti. Begitu juga jika mengikuti program di PASUM. Ia bukan tempat untuk bersenang-lenang, sebaliknya sebuah tempoh pengajian yang singkat dan padat dengan jadual padat, tugasan yang berterusan, dan pelbagai aktiviti yang perlu dikendalikan.

Justeru, orientasi menjadi latihan awal tubuh yang letih dan minda yang diasak. Segalanya tidak berlaku sia-sia, sebaliknya membantu membina ketahanan dan kekuatan. Hasilnya apabila pelajar melangkah ke minggu kuliah, mereka mungkin tidak menyedari bahawa mereka telah pun berubah. Daripada sekadar orang baharu yang tercari-cari arah, mereka kini lebih bersedia, bukan hanya tahu ke mana mereka harus pergi, tetapi juga tahu siapa diri mereka dalam dunia yang baharu ini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

CHE MOHD FARHAN
Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains
Universiti Malaya
e-mel chean285@um.edu.my