SAUDARA PENGARANG
Bagi sebahagian besar mahasiswa, media sosial bukan sekadar sumber hiburan atau berkongsi kisah harian. Ruang media sosial kini sudah menjadi ruang “pelarian” atau escapism untuk mereka menenangkan diri, melepaskan tekanan dan mencari sokongan emosi ketika berdepan cabaran kehidupan akademik.
Namun, kebergantungan sepenuhnya kepada media sosial menyebabkan mahasiswa cenderung menggunakan media sosial sebagai ruang “pelarian” secara berlebihan.
Media Sosial Ruang “Pelarian” Mahasiswa
Banyak kajian sudah membuktikan bahawa penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar universiti menunjukkan peningkatan ketara selari dengan perkembangan teknologi digital pada hari ini. Platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan X menjadi pilihan utama kerana menyajikan kandungan ringkas, padat dan mudah diikuti oleh mahasiswa.
Menonton video pendek, mengikuti kandungan pempengaruh dan trend semasa serta berkongsi rutin harian sebagai cara untuk berhubung dan meluahkan diri; mengakibatkan pelajar universiti cenderung menghabiskan banyak masa di dalam ruang media sosial.
Budaya menatal media sosial tanpa henti dan keinginan menuruti trend mutakhir mendorong mahasiswa lebih kerap melayari aplikasi sosial walaupun hanya untuk melihat notifikasi atau kandungan baharu.
Kebergantungan ini semakin meningkat apabila ramai pelajar universiti menjadikan media sosial sebagai sumber maklumat utama daripada isu akademik, hiburan, gaya hidup, sehinggalah berita semasa menyebabkan ia menjadi sebahagian rutin harian yang sukar dipisahkan daripada kehidupan mereka.
Satu tinjauan rawak melibatkan 125 pelajar universiti dari pelbagai program pengajian mendapati, daripada jumlah itu, lebih sepertiga mahasiswa menggunakan media sosial sebagai ruang menenangkan perasaan.
Keputusan ini menunjukkan adanya elemen pergantungan emosi terhadap media sosial dalam kalangan pelajar universiti. Didapati platform media sosial menjadi pilihan utama dan sangat penting kepada kehidupan mahasiswa dalam era teknologi digital.
Kebergantungan kepada media sosial sebagai ruang “pelarian” pelajar universiti semakin meningkat apabila mahasiswa terbabit mengalami tekanan atau memerlukan ketenangan diri.
Sebahagian pelajar dalam tinjauan berkenaan juga mengakui bahawa mereka merasa kehidupan seolah-olah “tidak lengkap” jika tidak menatal kandungan media sosial menggunakan peranti pintar untuk jangka masa tertentu.
Mahasiswa berkenaan turut merasakan keperluan kekal bersambung atau berhubung dengan dunia media sosial, membuktikan betapa besar pengaruh platform tersebut kepada kehidupan pelajar.
Satu lagi dapatan penting tinjauan tersebut, adalah aspek kawal selia emosi atau emotional regulation dalam kalangan mahasiswa.
Berdasarkan data, 26 peratus mahasiswa mengaku merasa gelisah apabila mereka cuba mengurangkan masa penggunaan media sosial, manakala 41 peratus lagi mendedahkan bahawa mereka sering memikirkan tentang telefon pintar dan media sosial ketika sedang melakukan tugasan lain.
Senario ini menggambarkan cabaran sebenar generasi digital dalam soal mengurus perasaan tanpa bergantung kepada rangsangan daripada platform media sosial.
Ini kerana, ciri-ciri keterlibatan pengguna media sosial menerusi like, komen dan mesej baharu memberikan rasa dihargai dan disokong yang dilabel sebagai ganjaran segera media sosial untuk menjerat penggunaan berulang.
Bagaimanapun, pengurusan emosi sedemikian sebenarnya hanya memberi kelegaan sementara kepada mahasiswa dan tidak mendidik mereka mengendalikan tekanan secara lebih sihat.
Jika dibiarkan berlarutan, masalah ini berpotensi berubah menjadi isu ketagihan digital lebih ketara kepada pelajar terbabit.
Selain itu, isu kesunyian turut menjadi faktor mahasiswa menggunakan media sosial secara berlebihan menurut tinjauan berkenaan.
Walaupun berada dalam persekitaran penuh interaksi dan aktiviti, segelintir pelajar universiti merasa kesunyian dengan hampir 16 peratus menyatakan mereka tidak mempunyai individu benar-benar dipercayai, menyebabkan mereka mencari sokongan dalam platform media sosial.
Menerusi interaksi media sosial, mereka merasakan mendapat perhatian, sokongan moral dan penghargaan. Walaupun ia kelihatan positif, situasi itu sebenarnya berisiko apabila pelajar mula bergantung sepenuhnya kepada hubungan dalam talian ini.
Di peringkat ini, media sosial menjadi “tempat berlindung” yang mengisi kekosongan hidup mahasiswa dan tanpa disedari, mahasiswa menjadi sangat bergantung kepada media sosial.
Jika isu kesunyian ini tidak ditangani dengan betul, ia akan mendorong pelajar menghabiskan lebih banyak masa di media sosial berbanding berinteraksi secara fizikal.
Menurut kajian ini, beberapa tingkah laku yang menunjukkan ciri-ciri penggunaan kompulsif media sosial adalah pelajar memeriksa peranti pintar berulang kali tanpa sebab jelas, menatal media sosial secara automatik dan merasa cemas apabila tidak dapat mengakses Internet.
Ciri-ciri lain termasuk mudah hilang fokus ketika belajar kerana gangguan notifikasi media sosial serta terdorong melayari media sosial walaupun perbuatan itu mengganggu mahasiswa itu sendiri untuk menyiapkan tugasan.
Apabila digabungkan, tingkah laku ini bukan sahaja melemahkan pengurusan masa pelajar, prestasi akademik malah berisiko menjejaskan hubungan sosial dan kesejahteraan psikologi mereka dalam jangka panjang.
Kesimpulannya, campur tangan awal dan pendidikan literasi digital berkaitan kawal selia emosi dan disiplin penggunaan teknologi sangat penting untuk membantu mahasiswa tidak terperangkap dalam kitaran penggunaan media sosial yang memudaratkan mereka sendiri.
Langkah Elak Ketagihan Digital Dalam Kalangan Mahasiswa
Penggunaan meluas media sosial dalam kalangan mahasiswa tidak dapat dihindari dan penggunaan tanpa kawalan pula, memberi kesan kepada kesejahteraan pelajar termasuk kesihatan mental.
Walaupun platform media sosial memberi banyak manfaat, mahasiswa perlu mempunyai kesedaran tentang had dan batasan penggunaan serta mampu mengurus masa dan emosi dengan lebih baik.
Antara langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang ketagihan digital adalah penekanan literasi digital oleh institusi pendidikan terutama institusi pengajian tinggi.
Menerusi langkah itu, mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran teknologi dan paling penting, mereka diajar tentang pengurusan masa, kawalan emosi serta cara membina hubungan sosial sebenar.
Pendidikan mengenai kesejahteraan emosi juga wajar diberikan secara lebih menyeluruh melalui bengkel, seminar atau program sokongan psikologi kampus.
Pelajar perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dan strategi menangani tekanan tanpa bergantung sepenuhnya kepada aplikasi digital.
Kajian ini membuka perspektif baharu tentang peranan media sosial dalam kehidupan pelajar. Kebanyakan mereka menggunakan platform tersebut untuk mencari jawapan, sokongan dan identiti. Namun penggunaan yang tidak terkawal boleh menyebabkan pelajar semakin jauh daripada dunia nyata.
Generasi masa kini berada dalam persimpangan antara kemudahan teknologi dan cabaran psikologi yang datang bersamanya. Oleh itu, usaha secara kolektif perlu dilakukan oleh pelajar, pensyarah dan pihak universiti bagi membina budaya digital yang sihat dan seimbang.
Dengan kawalan emosi lebih baik, rasa kesunyian dapat ditangani dengan cara positif serta mereka sedar tentang risiko pergantungan digital. Hasilnya, mahasiswa boleh menikmati manfaat teknologi tanpa terperangkap dalam penggunaan yang memudaratkan dan merugikan mereka.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Zauridah Abdul Hamid
Pensyarah Kanan Program Teknologi Media
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: zauree@uum.edu.my

