Generasi Z dan naratif ‘strawberi’, mitos atau realiti?

SAUDARA PENGARANG

Jika Gen X, milenial dan Gen Z dicampak ke tengah laut, generasi manakah yang akan sampai ke darat terlebih dahulu?

Soalan ini mungkin kedengaran seperti teka-teki, namun ia sebenarnya menggambarkan perbezaan cara berfikir dan cara bertahan antara tiga generasi ini. Untuk memahami jurang tersebut, kita boleh kembali kepada analogi mudah tentang laut dan cabaran.

Gen X, generasi yang membesar dengan ekonomi tidak menentu dan hidup serba kekurangan, akan bertahan jika dicampak ke laut. Mereka akan mencari apa sahaja yang boleh membantu, melawan arus, dan berusaha tiba ke darat biar pun terpaksa menahan perit.

Milenial, generasi yang dibesarkan di bawah pengaruh disiplin Gen X yang telah menikmati sedikit kestabilan, akan berenang dengan teknik yang telah diajar. Mereka berenang menuju darat menggunakan struktur dan sistem yang diwariskan generasi sebelumnya.

Gen Z pula tidak terikat dengan kedua-dua acuan itu. Jika dicampak ke laut, mereka akan berhenti seketika untuk menilai keadaan, membaca arah angin, dan memahami aliran arus sebelum membuat gerakan pertama.

Bunyinya seperti gurauan, tetapi hakikatnya generasi ini memerlukan konteks yang tepat, suasana yang kondusif dan alasan yang jelas sebelum mereka bergerak. Mereka boleh berenang, cuma mereka perlu tahu ke mana dan mengapa.

Dalam dunia kerja sebenar, perbezaannya lebih ketara. Gen Z bukan menolak tanggungjawab; mereka menolak struktur lama yang tidak lagi relevan dalam ekosistem hari ini. Mereka bukan malas; mereka hanya tidak akan berlari tanpa arah.

Gen Z: Salah Faham dan Realiti

Gen Z sering dilabel sebagai “generasi strawberi”, terlalu sensitif, kurang fokus, lebih mementingkan kebebasan daripada tanggungjawab. Stereotaip bahawa mereka “tidak mampu memikul tanggungjawab berat” mula berakar kerana kebergantungan Gen Z kepada teknologi, cara komunikasi yang serba pantas, dan gaya hidup yang kadangkalanya berbeza dengan acuan tradisi.

Di sebalik label itu, Gen Z membawa satu bentuk tenaga kerja baharu. Realitinya mereka bukan menolak tanggungjawab, mereka menolak tugas yang tidak bermakna. Mereka bekerja kerana memahami mengapa sesuatu itu penting, bukan sekadar kerana diarahkan. Perbezaan ini bukan sekadar soal sikap, tetapi hasil daripada dunia yang membentuk mereka.

Dunia mereka lebih kompleks dan pantas berbanding era sebelumnya. Maka, pendekatan lama tidak lagi relevan. Jika kita terus mengukur mereka dengan acuan tradisional, kita akan gagal memanfaatkan potensi sebenar mereka. Adakah salah generasi itu sendiri, atau salah kita yang gagal memahami cara mereka dibentuk oleh dunia yang jauh berbeza daripada era kita?

Sinergi Milenial dan Gen Z

Sebagai seorang daripada generasi milenial, saya melihat sendiri bagaimana pelajar Gen Z menunjukkan profesionalisme luar biasa apabila diberi peranan yang jelas sama ada sebagai jurukamera, switcher, atau kru teknikal. Mereka bukan sahaja hadir, tetapi hadir dengan kesungguhan dan ketelitian.

Selaku pensyarah yang diberi mandat sebagai Pengarah Studio untuk Istiadat Konvokesyen ke-28 Universiti Islam Selangor, saya berpeluang menyaksikan bagaimana pelajar Gen Z berfungsi di luar bilik kuliah.

Walaupun di bilik kuliah mereka mungkin kelihatan santai dan berdepan cabaran seperti kehadiran kelas yang tidak konsisten. Tetapi apabila diberi amanah mengendalikan majlis berskala besar, mereka membuktikan kemampuan sebenar dengan komitmen, ketelitian, dan profesionalisme yang mengagumkan.

Lebih membanggakan, mereka berjaya mengendalikan kesemua sidang konvokesyen dengan cemerlang, termasuk Sidang Canselor yang disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Sidang ini memerlukan persiapan rapi kerana melibatkan protokol istana, namun pelajar Gen Z mengurus peranan mereka dengan penuh keyakinan.

Situasi ini membuktikan bahawa Gen Z bukan menolak tanggungjawab, mereka hanya menolak tugas yang tidak bermakna. Apabila mereka memahami konteks dan diberi kepercayaan, mereka bukan sahaja hadir, tetapi hadir dengan kesungguhan terhadap peranan yang dipikul.

0912 GENERASI EVO1Barisan petugas termasuk generasi Z bersempena Istiadat Konvokesyen ke-28 Universiti Islam Selangor 2025/UIS

Disiplin Kerja di Sebalik Lensa

Bersiaran secara langsung bukan sekadar memegang kamera atau berada di hadapan skrin. Ia melibatkan proses panjang dan berlapis dari praproduksi hingga pascaproduksi.

Menarik kabel sepanjang dewan, memetakan kedudukan kamera, menyusun peralatan teknikal, memastikan tiada gangguan visual, dan memantau komunikasi interkom, semua ini memerlukan koordinasi rapi. Dalam siaran langsung, kesilapan kecil boleh membawa implikasi besar.

Gen Z membuktikan mereka mampu mengekalkan fokus di kamera pit selama berjam-jam, mendengar arahan pengarah studio dengan tepat, dan bertindak balas terhadap perubahan spontan.

Kecekapan digital mereka memudahkan adaptasi kepada teknologi baharu, manakala keberanian mencuba pendekatan kreatif menjadikan mereka aset dalam persekitaran yang dinamik.

Selesai siaran, tanggungjawab seperti menggulung kabel yang panjang dan banyak serta mengemas semula peralatan tetap dilaksanakan dengan penuh disiplin apabila mereka menyedari bahawa proses tersebut memerlukan ketelitian dan bukanlah tugas yang mudah.

Walaupun kerja-kerja ini tidak glamor, generasi ini tetap menunjukkan disiplin yang konsisten apabila mereka memahami kepentingan setiap tugasan dalam keseluruhan ekosistem penyiaran.

Keseimbangan Menggerakkan Industri

Apabila Milenial dan Gen Z digabungkan dalam satu pasukan, wujud keseimbangan yang unik. Milenial membawa struktur kerja dan kefahaman terhadap protokol penyiaran, manakala Gen Z membawa kelajuan adaptasi, kemahiran teknikal digital, dan kreativiti. Gabungan ini menjadikan pasukan lebih responsif dan inovatif, sesuai dengan tuntutan industri yang sentiasa berubah.

Akhirnya, persoalan generasi bukanlah soal siapa lebih “baik”, tetapi bagaimana setiap generasi menyumbang kompetensi yang saling melengkapi. Dunia mereka hari ini jauh lebih kompleks, lebih pantas, dan lebih mencabar daripada dunia yang kita warisi dahulu.

Dunia penyiaran membuktikan bahawa generasi baharu bukan ancaman kepada disiplin kerja, sebaliknya kesinambungan semula jadi kepada perubahan industri. Gen X membuka laluan, Milenial membina struktur, dan Gen Z menambah nilai dengan perspektif baharu dan segar.

Apabila ketiga-tiganya difahami dan digabungkan secara strategik, hasil kerja bukan sahaja lebih berkualiti, tetapi juga lebih relevan dengan masa kini.

Milenial dan Gen Z bukan generasi yang harus dibandingkan, tetapi generasi yang perlu digabungkan. Soalnya, bersediakah kita menerima bahawa setiap generasi mempunyai cara bertahan yang berbeza, dan bersediakah kita menyesuaikan sistem agar potensi generasi baharu ini dapat digerakkan sepenuhnya?

Dalam dunia yang berubah pantas dan dipacu teknologi, satu persoalan besar kekal: mampukah kita maju jika kita tidak memahami generasi yang bakal mengemudi arah tuju masa depan negara?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

WAWARAH SAIDPUDDIN
Wawarah Saidpudin
Pensyarah Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: wawarah@uis.edu.my