SAUDARA PENGARANG
Dalam dunia yang semakin sibuk dan terbuka ini, istilah FOMO atau ‘Fear of Missing Out’ sudah tidak asing lagi. Ramai yang mengalaminya rasa takut ketinggalan daripada sesuatu acara, perbualan, atau trend terkini.
Namun, ada satu lagi fenomena yang semakin mendapat perhatian pakar kesihatan mental: FOBI atau ‘Fear of Being Included’ iaitu ketakutan untuk disertakan.
Jika FOMO mendorong seseorang untuk terlibat kerana takut tercicir, FOBI pula menimbulkan keresahan kerana takut dimasukkan ke dalam suasana sosial.
Kedua-duanya berlawanan, tetapi ironinya, kedua-duanya berpunca daripada akar yang sama iaitu keresahan sosial dan beban psikologi yang terhasil daripada budaya komunikasi moden.
Bayangkan situasi biasa yang mana anda menerima mesej di WhatsApp “Jom kita makan malam sama-sama lepas kerja!” Bagi sesetengah orang, itu peluang untuk berhubung dan bergembira.
Tetapi bagi individu yang mengalami FOBI, mesej itu boleh mencetuskan debaran luar biasa.
Soalan-soalan mula berputar dalam fikiran “Apa yang patut saya pakai? Bagaimana kalau saya diam saja? Bagaimana kalau saya tersalah cakap dan orang ketawa?” Akhirnya, ramai yang memilih untuk menolak jemputan dengan pelbagai alasan.
Bukan kerana sombong, tetapi kerana jemputan itu sendiri sudah menjadi sumber tekanan.
Fenomena FOBI ini menunjukkan bahawa komunikasi seharian yang pada asasnya sepatutnya menjadi jambatan untuk menghubungkan manusia boleh berubah menjadi medan kegelisahan.
Mengapa FOBI Berlaku?
FOBI tidak hadir tanpa sebab. Ia lahir daripada gabungan faktor psikologi, pengalaman hidup, dan budaya semasa.
Bagi sesetengah orang, pengalaman pahit di masa lalu seperti diejek, dipinggirkan, atau diperlekehkan dalam majlis sosial meninggalkan parut emosi. Setiap jemputan baharu mengingatkan kembali luka lama.
Dalam dunia komunikasi moden, tekanan ini semakin berganda. Media sosial menjadikan setiap interaksi seolah-olah berada di bawah mikroskop.
Setiap gambar yang dimuat naik, setiap komen yang ditulis, boleh diulas, dikritik, atau disalah tafsir.
Akibatnya, ramai yang merasa lebih selesa mengelak daripada mengambil bahagian, kerana ketakutan terhadap penilaian orang lain lebih besar daripada keinginan untuk berhubung.
Kesan FOBI paling jelas kelihatan dalam cara seseorang berkomunikasi. Ada yang membiarkan mesej tidak berbalas selama berhari-hari kerana tidak tahu bagaimana hendak menolak dengan baik.
Ada yang hadir ke majlis, tetapi sepanjang masa lebih banyak berdiam diri, duduk di sudut, atau berpura-pura sibuk dengan telefon.
Bagi rakan dan keluarga, tingkah laku itu sering disalah ertikan. Mereka menganggap individu berkenaan tidak mesra, dingin, atau enggan bergaul.
Padahal yang sebenarnya berlaku adalah konflik dalaman yang sukar dijelaskan. Di sinilah “miskomunikasi” bermula apabila ketakutan yang tidak kelihatan disalah tafsir sebagai sikap yang tidak menyenangkan.
Sebenarnya, FOBI tidak sekadar menyusahkan dalam komunikasi harian. Ia memberi kesan lebih mendalam terhadap kesihatan mental dan hubungan sosial.
Individu yang berulang kali mengelak undangan akhirnya berdepan risiko terasing daripada jaringan sosial mereka.
Rakan-rakan mungkin berhenti mengajak, keluarga mungkin menjauh, dan di tempat kerja, peluang membina hubungan profesional boleh hilang begitu sahaja.
Lebih membimbangkan, FOBI boleh menjadi pintu masuk kepada masalah mental yang lebih serius seperti kemurungan dan gangguan keresahan kronik.
Rasa bersalah kerana kerap menolak jemputan bercampur dengan rasa lega kerana “terselamat” daripada acara sosial, akhirnya mencipta lingkaran emosi yang meletihkan.
Walaupun mencabar, FOBI bukanlah penjara yang kekal. Ia boleh diurus dengan kesedaran diri, latihan komunikasi, dan sokongan sekeliling.
Individu yang mengalami FOBI boleh bermula dengan langkah kecil, contohnya menghadiri pertemuan ringkas bersama seorang rakan rapat, sebelum perlahan-lahan membiasakan diri dengan kumpulan yang lebih besar.
Satu lagi langkah penting ialah belajar berkomunikasi dengan jujur. Daripada memberi alasan berlapik setiap kali menolak jemputan, lebih baik menyatakan keadaan sebenar dengan lembut seperti “Saya kurang selesa dengan majlis besar, mungkin kita boleh berjumpa secara santai lain kali”.
Kejujuran sebegini bukan sahaja mengurangkan beban mental, malah membantu orang sekeliling memahami batasan yang dimiliki.
Dalam banyak kes, bantuan profesional juga sangat berguna. Ahli terapi boleh membantu individu mengenal pasti corak pemikiran negatif dan menggantikannya dengan strategi lebih sihat.
Terapi kognitif, misalnya, terbukti berkesan dalam mengurus keresahan sosial. FOBI mengingatkan kita bahawa komunikasi bukanlah sesuatu yang neutral untuk semua orang.
Bagi sebahagian besar individu, perbualan kecil atau jemputan makan malam hanyalah perkara rutin. Tetapi bagi mereka yang berdepan FOBI, ia boleh menjadi beban besar yang membelenggu fikiran dan emosi.
Sebagai masyarakat, kita perlu lebih berempati. Tidak semua penolakan jemputan datang daripada keangkuhan.
Kadangkala ia datang daripada jiwa yang sedang bergelut dengan ketakutan yang sukar dijelaskan. Dengan lebih kesedaran dan sokongan, kita boleh menjadikan komunikasi harian bukan medan tekanan, tetapi jambatan yang benar-benar menghubungkan manusia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan/Penyelaras Pengajian Liberal
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
e-mel: yusofzulkefli@uitm.edu.my

