Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan warga asing, tumpas

SHAH ALAM 16 DISEMBER – Jabatan Imigresen Selangor berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen perjalanan oleh warga asing menerusi serbuan sebuah kediaman di Taman Sri Andalas.

Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin mendedahkan serbuan hasil risikan dalaman serta maklumat rakan strategik mendapati modus operandi sindiket dengan menjadikan kediaman itu sebagai lokasi perniagaan membuat kek.

“Sebaliknya kediaman berkenaan dijadikan lokasi menjalankan kegiatan pemalsuan cop imigresen serta pas lawatan sosial menggunakan perkhidmatan penghantaran.

“Serbuan membawa penahanan tiga warga Vietnam termasuk dalang sindiket yang kini direman bagi membantu siasatan.

“Barang kes yang dirampas termasuk wang tunai, beberapa pasport serta kad pengenalam warga asing serta peralatan membuat cop palsu,”katanya dalam sidang media.

Sindiket turut menggunakan cecair peluntur bagi memadam cop asal pasport sebelum menggantikannya dengan cop palsu yang dibuat sendiri dengan mengenakan bayaran sekitar RM400.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen.