KUALA LUMPUR, 17 Disember – Nilai rampasan hampir RM82.1 juta sepanjang tahun 2025 berjaya direkodkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sekali gus membuktikan keupayaan awal agensi baharu itu dalam membanteras jenayah di pintu masuk negara, meskipun masih berdepan pelbagai cabaran struktur dan sumber manusia.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kejayaan rampasan tersebut dicapai dalam tempoh kurang setahun AKPS beroperasi secara rasmi, hasil penyelarasan operasi melibatkan enam agensi penguatkuasaan utama di bawah satu entiti.
Menurut beliau, antara rampasan terbesar melibatkan kes berkaitan hidupan liar dengan nilai hampir RM60 juta, selain rampasan dadah seberat lebih 205 kilogram bernilai hampir RM20.2 juta.
“Selain itu, rampasan barangan kesihatan dan perubatan mencecah RM1.4 juta, rampasan melibatkan fungsi kastam sebanyak RM222,519 dalam tempoh kurang tiga bulan, serta barangan subsidi dan kes JPJ bernilai RM183,590,” katanya ketika sesi taklimat bersama media di ibu negara.
Datuk Seri Mohd Shuhaily menjelaskan, pencapaian tersebut melibatkan operasi di 22 pintu masuk utama negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor, Pelabuhan Klang dan Bukit Kayu Hitam.
Bagaimanapun, beliau mengakui AKPS masih berdepan cabaran besar, khususnya dari segi kekurangan anggota apabila hanya mempunyai kira-kira 6,000 pegawai ketika ini, berbanding keperluan ideal seramai 13,721 anggota bagi memastikan kawalan pintu masuk negara dapat dilaksanakan secara optimum.
“Menjelang tahun 2026, AKPS dijangka mengambil alih lebih 120 pintu masuk di seluruh negara. Cabaran utama adalah memastikan jumlah anggota mencukupi bagi menjadikan pintu masuk ini selamat serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih berkesan,” katanya.
Selain kekangan sumber manusia, AKPS juga mewarisi beberapa isu legasi daripada agensi terdahulu termasuk aspek disiplin, aset dan operasi memandangkan kebanyakan pegawai ketika ini merupakan pinjaman daripada pelbagai jabatan lain.
Dalam usaha menangani cabaran tersebut, AKPS turut memanfaatkan teknologi digital seperti penggunaan ‘autogate’ dan naik taraf sistem sedia ada bagi mempercepatkan proses keluar masuk pengembara serta mengurangkan risiko salah guna kuasa di pintu masuk negara.
Namun, Datuk Seri Mohd Shuhaily menegaskan teknologi bukan penyelesaian mutlak tanpa sokongan kepakaran dan kekuatan tenaga manusia.
Jelasnya, walaupun rampasan sering dijadikan ukuran kejayaan, penilaian sebenar keberkesanan AKPS pada peringkat awal ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, memandangkan agensi kawalan sempadan di negara maju juga memerlukan tempoh hampir satu dekad untuk stabil sepenuhnya.
“Pencapaian hari ini menunjukkan potensi AKPS tetapi cabaran sebenar adalah memastikan agensi ini dibangunkan secara berperingkat, mampan dan mampu memenuhi jangkaan kerajaan serta rakyat,” ujar beliau.

