GEORGE TOWN, 16 Disember – Polis menahan enam lelaki warga tempatan berhubung kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Abdul Rozak Muhammad, berkata maklumat mengenai kejadian itu diterima pihaknya kira-kira pukul 7.45 malam. Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku sekitar pukul 7.30 malam membabitkan sekumpulan lelaki tempatan.
“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada pertikaian urusan jual beli sebuah kereta antara dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua suspek berumur antara 25 hingga 28 tahun, dengan empat suspek utama direman selama tiga hari sehingga 18 Disember, manakala dua lagi direman satu hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan video kejadian serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

