JEMPOL, 12 Disember -Seorang lelaki kerugian RM69,900 selepas terpedaya dengan penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norhisham Mustapar berkata, peniga kedai makan berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali pada 9.30 pagi semalam.
Beliau berkata mangsa diberitahu nombor telefonnya telah disalah guna oleh pihak lain dan akaun bank mangsa kononnya terlibat dengan kegiatan penipuan serta pengubahan wang haram.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat beberapa pembayaran ke akaun bank diberikan atas alasan untuk siasatan audit.
“Mangsa seterusnya membuat 16 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM69,900 sebelum menyedari dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Norhisham berkata, selepas membuat laporan, pegawai penyiasat mengarahkan mangsa menghubungi Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) di talian 997 bagi penyekatan akaun terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

