Keldai akaun ditahan, terlibat skim pelaburan tidak wujud

ROBAN, 9 Disember – Polis menahan seorang wanita berusia 38 tahun dari Pasir Gudang, Johor di sini susulan siasatan terhadap satu penipuan pelaburan tidak wujud yang menyebabkan seorang guru kerugian hampir RM250,000.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang guru berumur 30 tahun yang mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang dipromosikan melalui Facebook pada Oktober lalu.

Menurut beliau, mangsa dipercayai terjerat dengan tawaran pelaburan tersebut sehingga membuat sembilan transaksi ke dalam satu akaun penama berjumlah keseluruhan RM249,800.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi agen pelaburan terbabit sebelum tampil membuat laporan polis,” jelasnya.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku akaun bank yang digunakan dalam transaksi berkenaan adalah miliknya, namun mendakwa ia diserahkan kepada satu pihak lagi bagi tujuan pinjaman.

Bagaimanapun suspek mendakwa tidak mengetahui aktiviti penipuan yang menggunakan kad debit miliknya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Saratok pada 22 Disember ini.