Kakitangan APM dituduh salah guna jawatan luluskan bayaran syarikat isteri

KANGAR, 17 Disember – Seorang Penolong Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, selepas didakwa atas pertuduhan salah guna jawatan bagi mendapatkan sogokan buat isterinya.

Pertuduhan dibuat dihadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan jawatannya bagi meluluskan baucar bayaran atas nama syarikat milik isterinya berkaitan perolehan makanan dan minuman berjumlah RM7,350.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat APM negeri antara 28 hingga 30 Ogos 2016.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM negeri, S. Sujatha.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Tertuduh dibenarkan dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan.