PONTIAN, 13 Disember – Dua pekerja Loji Janakuasa Malakoff Tanjung Bin, maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren arang batu di Kukup runtuh, tengah hari tadi.
Identiti mangsa yang maut disahkan masing-masing, Muhammad Alfarid Ahmad, 19 tahun dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22 tahun.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Nazri Ahmad Shahidon memaklumkan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai kementerian kesihatan.
“Mayat mangsa ditemukan sekitar pukul 3 petang.
“Sementara mangsa yang cedera, Nadzrul Azmi Sipak, 44 tahun, Muhammad Zakwan Mason, 22 tahun dan Muhammad Daniel Hakim Mohd Tarmizi, 24 tahun cedera, dirawat di Hospital Pontian,”katanya.
Kejadian turut menyebabkan kebakaran kecil namun berjaya dikawal pasukan ERT Malakoff serta dibantu BBP Pontian Baru dan Pekan Nenas.

