BALIK PULAU, 9 Disember – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen pada Ogos lalu.
Tertuduh, Teo Chee Lam 37 tahun dan Fo Tze Jie 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan memberi pinjaman RM5,000 kepada seorang wanita.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Persiaran Paya Terubong 4, Sierra East, Bayan Lepas di sini kira-kira pukul 12.16 tengah hari pada 28 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala pesalah berulang boleh dikenakan sebatan.
Hakim Ahzal Fariz kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan.
Tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

