BUKIT KAYU HITAM, 14 Disember – Cubaan menyeludup minyak diesel ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ia hasil penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki warga asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jeffery Razali berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 400 liter minyak diesel bernilai hampir RM1,000 disembunyikan di dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai.
“Suspek cuba menyeludup minyak diesel dalam kuantiti yang banyak menggunakan kenderaan pikap yang telah diubah suai secara haram pada tangki simpanan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kesemua minyak diesel dan kenderaan bernilai hampir RM25,000 disita untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mengubah suai kenderaan bagi tujuan penyeludupan, dan Seksyen 64 (1) APJ 1987 yang membenarkan kenderaan disita.
Rampasan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan AKPS bersama agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan hanya barangan yang mematuhi undang-undang dan mempunyai dokumen sah sahaja dibenarkan keluar masuk di sempadan negara.
AKPS memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya agensi penguat kuasa melalui pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan.
Butiran lanjut mengenai agen atau syarikat yang terlibat kini dalam siasatan pihak JPJ dan agensi berkaitan.

