71 PATI ditahan di beberapa premis sekitar Kuching

KUCHING, 10 Disember – Seramai 71 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam siri serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Kuching.

Operasi meliputi premis kediaman dan perniagaan yang dijalankan bermula awal pagi semalam dan berakhir pukul 6.00 pagi tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak memaklumkan, kesemua PATI ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Tindakan tegas tersebut menunjukkan komitmen berterusan Bahagian Penguatkuasa JIM dalam memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras aktiviti yang melibatkan PATI.

“Operasi sedemikian akan terus dijalankan bagi mengekang kemasukan dan kehadiran individu yang melanggar peraturan imigresen,” menurut kenyataan itu.

Majikan dan pemilik premis dinasihat sentiasa mematuhi prosedur penggajian pekerja asing, manakala orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan yang berterusan.