1,478 karton arak dirampas, dipercayai tidak bercukai

JOHOR BAHRU, 12 Disember – 1,478 karton arak berjaya dirampas dipercayai tidak bercukai dalam satu serbuan di Taman Bukit Indah, di sini, pada Selasa lepas.

Pegawai Batalion Lima Pasukan Gerakan AM (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Salehin Suleiman berkata, tiga lelaki berumur 18 hingga 39 tahun, turut ditahan, dipercayai terlibat dengan sindiket.

Turut dirampas, dua buah kereta, menjadikan jumlah rampasan bernilai RM1.73 juta.

“Siasatan mendapati sindiket memperoleh bekalan arak dari zon bebas cukai, sebelum diedarkan kepada pembeli mengikut permintaan,” katanya.

Sindiket juga menyewa rumah untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan arak.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.