10 warga Filipina ditahan di Labuan, gagal kemuka pas sah

LABUAN, 11 Disember -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan malam tadi.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada OP Gegar dan OP Sapu, hasil maklumat serta risikan yang telah dijalankan oleh pasukan penguat kuasa.
 
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, dalam pemeriksaan tersebut, seramai 53 individu diperiksa, melibatkan 18 warganegara Malaysia dan 35 warganegara Filipina.
 
“Pemeriksaan lanjut mendapati 10 individu warga Filipina gagal mengemukakan dokumen atau pas yang sah, selain disyaki bekerja tanpa kebenaran di Labuan.
 
“Turut dikeluarkan, tiga saman kepada saksi bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.
 
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Labuan dan IPD Labuan untuk tindakan susulan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
 
JIM menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengesan, menangkap dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
 
“Orang ramai serta majikan diingatkan agar tidak melindungi PATI dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkannya bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.