KUALA LUMPUR, 14 Disember -Kumpulan rock Barbarik kembali menggegarkan pentas menerusi Pentas Barbarik Live @ Odeon KL semalam, apabila ribuan peminat setia, Rejim Barbarik, membanjiri dewan seawal pukul 5.00 petang semalam.
Walaupun pembukaan konsert tertangguh akibat kehadiran luar jangkaan, suasana dalam Odeon KL bertukar gamat sebaik Barbarik yang dibarisi Muss, Jo Branko, Rozaimi dan Ainol memulakan persembahan dengan Peluru Cokelat. Deretan lagu popular seperti Hidup Sederhana, 18000 Sayap, Kasmaran, Krisis Dipertengahan dan Hukum Karma mencetuskan sorakan tanpa henti, disokong sistem audio dan pencahayaan yang mantap.
Kehadiran istimewa Black, Eddie dan Mel menerusi Opera Hidup, Semalam Yang Hangat serta duet Sendiri menjadi antara momen paling emosional malam itu. Barbarik menutup konsert dengan Keris Tak Ada Sarung sebagai penamat yang keras dan penuh simbolik.
Bagaimanapun, beberapa kritikan timbul terhadap pengurusan kemasukan penonton. Penganjur, Rockstation Event & Entertainment, tampil memohon maaf dalam kenyataan rasmi pada 13 Disember 2025 dan memberi jaminan penambahbaikan pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, konsert ini membuktikan Barbarik kekal relevan sebagai band yang terus menyatukan tenaga, emosi dan semangat perjuangan muzik.

