Musim kelima Emily in Paris janjikan kelainan, berlatar Rom

PARIS, 16 Disember – Peminat siri popular Netflix, Emily in Paris, bakal disajikan dengan kelainan dalam Musim 5 yang akan membawa kisah percintaan dan cabaran kerjaya watak utama ke Itali, khususnya Rom, kata barisan pelakon siri itu pada Isnin.

Pelakon utama, Lily Collins, menjadi tumpuan utama pada tayangan perdana karpet merah yang berlangsung di Paris. Dalam musim terbaharu itu, watak Emily Cooper berpindah ke Rom bagi mengetuai pejabat baharu Agence Grateau di Itali, selepas empat musim sebelum ini berlatarbelakangkan Perancis.

Menurut Collins, penggambaran di Rom dan Venice memberikan pengalaman yang sangat berbeza, dengan suasana masyarakat, lokasi serta seni bina yang disifatkan penuh kehangatan dan keunikan.

Pelakon Itali, Eugenio Franceschini, yang memegang watak Marcello Muratori, berkata dia berasa bangga dan memikul tanggungjawab besar apabila menjalani penggambaran di negara sendiri. Katanya, peranan tersebut turut meningkatkan profil kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Philippine Leroy-Beaulieu memaklumkan berasa lebih selesa berada di Rom, yang menurutnya membolehkan watak Sylvie tampil lebih terbuka berbanding suasana Paris yang lebih formal.

Pelakon baharu, Minnie Driver, pula menyifatkan penggambaran pada waktu malam di Rom seolah-olah berada dalam sebuah filem klasik arahan Federico Fellini.

Lucien Laviscount, yang membawakan watak Alfie, menjanjikan musim terbaharu Emily in Paris akan tampil dengan suasana yang lebih berani dan segar, selari dengan penayangannya pada musim perayaan.

Bruno Gouery memuji kru produksi Itali yang disifatkannya bertenaga, manakala Samuel Arnold secara berseloroh berkata dia lebih banyak menghabiskan masa menikmati makanan tempatan berbanding melawat lokasi pelancongan.

Menurut William Abadie, pengalaman penggambaran di Itali memberi nilai tambah kepada siri tersebut dan menyegarkan keseluruhan pengembaraan Emily in Paris.

Musim kelima Emily in Paris akan mula ditayangkan di Netflix pada Khamis, 18 Disember.-REUTERS