Konsert GenKRU The Finale: One More Time gamit kehadiran hampir 10,000 peminat

KUALA LUMPUR, 23 November – Hampir 10,000 peminat membanjiri konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Hoki, Bukit Jalil.

Konsert kelima KRU tahun ini diadakan selepas empat penganjuran terdahulu di Axiata Arena, Bukit Jalil yang mencatat sejarah dalam industri muzik tempatan.

Permintaan luar biasa peminat untuk menyaksikan KRU beraksi di pentas berskala besar menjadi faktor utama konsert istimewa itu dianjurkan sekali lagi mencerminkan perkembangan positif penganjuran konsert di Malaysia yang kini seiring trend global.

Konsert dibuka dengan medley lagu Fobia dan Salah Siapa, Awas, Mengerti, Kena Marah Pun Tak Kisah dan Voodoo.

Persembahan mencapai kemuncak apabila KRU menyanyikan lagu Intifada, sebelum kumpulan Rabbani membuat kemunculan khas yang menggegarkan stadium.

Sepanjang hampir tiga jam persembahan, lebih 20 lagu hits didendangkan, termasuk Oh La La, Emilia, Apa Saja, Negatif, Jangan Lafazkan dan Fanatik.

Edry pula tampil berduet dengan artis jemputan Datin Juliana Banos yang membuat kemunculan semula setelah menyepi lebih 20 tahun, menerusi lagu romantis Sehidup Semati.

Namun persembahan yang agak singkat membuatkan penonton sedikit kecewa dan seperti tidak puas menghilangkan kerinduan kepada penyanyi Cinta Gila dan Mana Satu itu. 

Bukan sahaja penyanyi, KRU turut membawa bintang media sosial Kasih Iris Leona dan usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sebagai penampilan khas ketika mempersembahkan Gerenti Beres, menggamatkan stadium dengan sorakan penonton yang terhibur dengan gelagat mereka. 

Konsert GenKRU The Finale: One More Time melabuhkan tirai rangkaian GenKRU dengan penuh gaya.

Ia menjadi finale sempurna kepada lebih 30 tahun perjalanan karier KRU, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat peminat yang membesar bersama-sama karya dan evolusi muzik mereka.