Ringgit kukuh cecah 4.09 disokong faktor luaran, asas ekonomi domestik

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Pengukuhan nilai ringgit sehingga mencecah paras 4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) didorong penurunan kadar faedah AS serta kedudukan fiskal Malaysia yang semakin kukuh.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, sejak awal tahun ringgit meningkat lebih sembilan peratus, sekali gus mencatat prestasi terbaik dalam kalangan mata wang Asia.

Antara pemangkin utama pengukuhan itu ialah tindakan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang baru-baru ini menurunkan kadar faedah, sekali gus merapatkan jurang perbezaan antara kadar faedah AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia.

“Keadaan itu menjadikan pulangan pelaburan dalam mata wang ringgit lebih menarik, seterusnya meningkatkan aliran masuk pelaburan asing ke negara ini.

“Selain faktor luaran, situasi dasar fiskal negara yang mana usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan ini telah pun menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, situasi itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan, malah mengurangkan risiko kredit negara, sekali gus meningkatkan permintaan pelabur asing terhadap instrumen hutang kerajaan.

Dr Mohd Afzanizam berkata trend pengukuhan ringgit dijangka berlanjutan tahun hadapan,dipacu penurunan berterusan kadar faedah AS serta kesinambungan pelaksanaan agenda reformasi dan konsolidasi fiskal kerajaan.