KUALA LUMPUR, 29 November – Dagangan di pasaran derivatif Bursa Malaysia akan kembali beroperasi seperti biasa pada Isnin ini, 1 Disember 2025.
Ia susulan pemulihan penuh platform dagangan elektronik Globex, Chicago Mercantile Exchange (CME) Group pada pukul 9 malam tadi, waktu Malaysia.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, persediaan sedang dilakukan bagi memastikan semua produk derivatif dapat disambung semula mengikut waktu dagangan pasaran biasa.
Terdahulu, dagangan di pasaran derivatif terpaksa dihentikan sementara selepas berlaku gangguan sistem pada platform berkenaan.
Kegagalan teknikal itu menyebabkan semua produk derivatif yang bergantung pada platform tersebut tergendala serta-merta.
Menurutnya penyelesaian kontrak di Bursa Malaysia Derivatives diteruskan seperti biasa sepanjang hari ini.

