KUALA LUMPUR, 13 Disember – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerbitkan Kertas Perbincangan bagi mendapatkan maklum balas awam sebagai sebahagian daripada semakan rangka kerja tadbir urus korporat Malaysia.
SC memaklumkan, antara fokus utama semakan termasuk memperkukuh peranan lembaga pengarah dan pengurusan dalam memacu penciptaan nilai jangka panjang, selain meningkatkan keberkesanan lembaga secara keseluruhan.
“Semakan itu turut merangkumi usaha mengurus risiko baharu yang muncul, menggalakkan penerimaan teknologi baharu, pengukuhan komposisi serta kebebasan lembaga, selain membina kepercayaan pihak berkepentingan melalui akses kepada maklumat yang tepat pada masanya.
“Inisiatif berkenaan selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 4 yang akan datang, yang meletakkan tadbir urus korporat sebagai pemacu utama pasaran modal yang berdaya tahan, inklusif dan mampan,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan terbabit, maklum balas yang diterima akan menjadi panduan kepada semakan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang seterusnya.
Kertas Perbincangan itu dibuka untuk maklum balas bermula semalam hingga 6 Februari 2026, dengan syarikat tersenarai, pelabur serta persatuan industri digalakkan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

