Penarafan BBB+ Fitch Ratings disokong kestabilan politik

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan Stabil oleh Fitch Ratings dipacu oleh prestasi cemerlang Malaysia dalam penunjuk utama alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara mencatatkan skor melebihi median global terutamanya dalam aspek kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta hak asasi manusia dan kebebasan politik.

“Malaysia telah berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif yang mencorakkan sebahagian besar tahun 2025, yang berakhir dengan satu perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport serta memperkukuh kedudukan ekonomi kita.

”Walaupun keadaan global kekal mencabar, Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kerajaan MADANI telah melaksanakan siri reformasi ekonomi untuk memperkukuh kerangka fiskal dan tadbir urus, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] serta pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025.

Langkah ini, bersama dengan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025, dijangka memperkukuh kualiti kawal selia dan memastikan kemakmuran negara dibina atas asas institusi yang teguh.

Sementara itu, penarafan terkini oleh Fitch turut menekankan bahawa kestabilan politik menjadi tunjang kepada peningkatan kepastian dasar, mewujudkan kitaran murni yang memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan memperkukuh daya tahan fiskal.

Agensi tersebut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6% pada tahun 2025, menghampiri tahap tertinggi dalam julat ramalan rasmi Kerajaan iaitu antara 4% hingga 4.8%.

Keadaan pasaran buruh dijangka kekal memberangsangkan sehingga 2026, dengan kadar pengangguran di tahap terendah dalam tempoh 11 tahun serta kenaikan gaji yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Momentum ini diperkasakan lagi oleh rangkaian pelaburan modal berkaitan AI yang kukuh dan pelaburan teknologi yang meningkat sebanyak 13.2% tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Fitch turut yakin kadar defisit Kerajaan Persekutuan akan terus mengecil kepada 3.5% pada 2026 dan menyusut kepada 3% menjelang 2028 sekiranya rasionalisasi subsidi dan peluasan asas hasil diteruskan.

Jelas Datuk Seri Anwar, di bawah Kerajaan MADANI, pengurusan fiskal akan dipertingkatkan melalui pelbagai langkah peluasan hasil serta usaha pengoptimuman perbelanjaan.

”Kerajaan juga akan meneruskan rasionalisasi subsidi bagi membendung ketirisan dan memastikan
penggunaan sumber yang optimum.

”Penyaluran penjimatan ini bertujuan untuk menyokong pewujudan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, seterusnya meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global agar kekal berdaya tahan mendepani ketidaktentuan global,” katanya.