KUALA LUMPUR, 15 Disember – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi tumpuan kepada sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi menjelaskan intipati Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani pada Oktober lalu.
Ketua Setiausahanya, Datuk Hairil Yahri Yaacob memaklumkan, pendekatan itu diambil susulan pelbagai kritikan dan kebimbangan yang disuarakan orang ramai berhubung perjanjian berkenaan khususnya berkaitan isu kedaulatan negara.
Menurut beliau, antara persoalan utama yang sering dibangkitkan ialah sama ada ART akan menggadaikan kedaulatan Malaysia atau memaksa negara tunduk kepada mana-mana kuasa luar.
Namun, beliau menegaskan perkara tersebut sama sekali tidak benar dan telah dijelaskan berulang kali oleh kepimpinan kerajaan di pelbagai platform.
Penjelasan secara terperinci, termasuk huraian artikel demi artikel dalam perjanjian itu, dilihat berkesan apabila kebanyakan pihak mula memahami semangat sebenar ART serta rasional Malaysia menandatanganinya.
“Apabila kita terangkan secara terperinci bukan sahaja kandungan perjanjian, tetapi juga sebab dan implikasinya kepada negara, ekonomi dan rakyat sekiranya ART tidak ditandatangani, mereka akhirnya dapat menerima dan memahami intipati sebenar perjanjian ini,” kata beliau selepas sesi taklimat mengenai Perjanjian Timbal Balas Amerika Syarikat-Malaysia (ART) yang diadakan di Menara MITI, di sini hari ini.
Tahun hadapan, MITI merancang untuk memperluaskan sesi penerangan kepada lebih banyak kumpulan termasuk persatuan, industri, pelajar dan diplomat.
Usaha itu kini di peringkat mengenal pasti pihak terlibat sebelum sesi libat urus dilaksanakan dari satu lokasi ke lokasi lain termasuk di MITI sendiri.

