KUALA LUMPUR, 17 Disember – Rombakan Kabinet melibatkan pengisian portfolio Menteri Ekonomi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dilihat memberi kesan positif terhadap sentimen pasaran dan keyakinan pelabur.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini berikutan pelantikan tersebut melibatkan tokoh berpengalaman yang mempunyai kefahaman mendalam mengenai tadbir urus, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
“Saya melihat kesan segera lantikan ini terhadap pasaran dan sentimen pelabur adalah positif, walaupun ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan.
Langkah ini diyakini mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik untuk terus melabur dalam ekonomi Malaysia.
Apa yang pelabur mahukan ialah kepimpinan yang berpengalaman, berwibawa dan diyakini khususnya bagi kementerian yang strategik,” katanya.
Tambah beliau, antara fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh kedua-dua menteri ialah pelaksanaan dasar dan inisiatif yang telah dirangka, memandangkan tahun 2026 merupakan tahun permulaan Rancangan Malaysia Ke-13.
Jelas beliau, pelaksanaan dasar termasuk yang digariskan dalam Belanjawan 2026 turut penting bagi memastikan perancangan sedia ada dapat direalisasikan pada tahun hadapan dan seterusnya.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan kerajaan perlu bersedia melakukan sebarang intervensi mengikut perkembangan ekonomi semasa, terutamanya sekiranya perancangan sedia ada perlu disesuaikan dengan ketidaktentuan global.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi baharu, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik Menteri MITI.

