Kadar Sara Diri tinggi bukti kapasiti pengeluaran makanan negara kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Kapasiti pengeluaran domestik Malaysia kekal kukuh berdasarkan indikator Kadar Sara Diri (SSR) yang tinggi merentasi senarai 60 komoditi terpilih.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan subsektor tanaman menunjukkan prestasi kukuh pada 2024 apabila sembilan jenis buah-buahan dan lapan jenis sayur-sayuran merekodkan SSR melebihi 100 peratus.

”Betik (142.4%), kacang buncis (122.8%), tomato (113.0%) dan bayam (107.1%) antara komoditi yang menunjukkan tahap sara diri penuh. Namun, cili (35.8%) dan mangga (20.6%) kekal rendah, menunjukkan keperluan intervensi dasar yang lebih khusus untuk komoditi berimpak tinggi,” menurut DOSM dalam satu kenyataan.

Bagi subsektor ternakan, daging itik (129.9%) dan telur ayam atau itik (107.0%) terus kekal melebihi SSR penuh sejak 2020.

1512 BZ DOSM IMPORT MAKANAN 2Foto arkib/BERNAMA

Pada masa sama, SSR daging ayam hampir mencecah 100 peratus iaitu 92.9 peratus. Manakala dalam subsektor perikanan, empat daripada 15 item utama iaitu siakap (123.0%), tuna (108.3%), ketam (100.5%) dan patin (100.0%) menunjukkan prestasi positif.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata nilai import makanan negara mencecah RM93.8 bilion pada 2024, meningkat 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, angka itu menandakan Kadar Kebergantungan Import (IDR) masih tinggi terhadap sumber luar bagi beberapa komoditi asas.

”Antaranya komoditi seperti daging kambing/bebiri, buah-buahan beriklim sederhana seperti epal dan bahan masakan seperti bawang putih dan bawang besar, berikutan kekangan kos dan faktor agroekologi.

“Namun, penurunan IDR bawang kecil di bawah paras 100 peratus buat pertama kali menunjukkan keberhasilan awal dasar peningkatan pengeluaran domestik, melalui usaha penyelidikan varieti dan insentif pengeluaran tempatan. Inisiatif ini membuktikan bahawa Malaysia berpotensi memperkukuh kapasiti pengeluaran domestik,” katanya.