Jualan EV merosot, Ford tarik diri

DETROIT, 16 Disember – Ford Motor mengumumkan akan merekodkan susut nilai berjumlah AS$19.5 bilion serta menghentikan beberapa model kenderaan elektrik (EV), dalam langkah paling drastik setakat ini susulan dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan permintaan EV yang semakin lemah.

Syarikat yang berpangkalan di Dearborn, Michigan, itu memaklumkan ia akan menghentikan pengeluaran Ford F-150 Lightning versi elektrik sepenuhnya, sebaliknya beralih kepada model EV jarak lanjutan (EREV), iaitu kenderaan hibrid yang menggunakan penjana berkuasa petrol untuk mengecas bateri.

Ford turut membatalkan pembangunan trak elektrik generasi baharu, dikenali dengan kod T3, serta rancangan menghasilkan van komersial elektrik.

Sebaliknya, Ford akan memberi tumpuan besar kepada kenderaan berkuasa petrol dan hibrid, serta menjangkakan pengambilan ribuan pekerja baharu dalam jangka panjang, meskipun beberapa pemberhentian kerja dijangka berlaku dalam masa terdekat di kilang bateri milik bersama di Kentucky.

Ford menyasarkan gabungan kenderaan hibrid, EV jarak lanjutan dan EV sepenuhnya mencapai 50 peratus daripada jualan global menjelang 2030, meningkat daripada 17 peratus ketika ini.

Syarikat itu memberitahu susut nilai berkenaan akan direkodkan secara berperingkat, bermula terutamanya pada suku keempat tahun ini dan berterusan sehingga 2027. Kira-kira AS$8.5 bilion berkaitan pembatalan model EV yang dirancang, AS$6 bilion melibatkan pembubaran usaha sama bateri dengan syarikat Korea Selatan, SK On, manakala AS$5 bilion lagi diklasifikasikan sebagai perbelanjaan berkaitan program.

Dalam masa sama, Ford menaikkan unjuran pendapatan terlaras sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi tahun 2025 kepada kira-kira AS$7 bilion, berbanding anggaran sebelumnya antara AS$6 bilion hingga AS$6.5 bilion.

Peralihan strategi Ford mencerminkan perubahan sentimen industri automotif global selepas pelaburan ratusan bilion dolar dibuat ke dalam EV pada awal dekad ini. Prospek EV merosot ketara tahun ini susulan dasar pentadbiran Trump yang menarik balik sokongan persekutuan terhadap EV serta melonggarkan peraturan pelepasan ekzos, sekali gus menggalakkan penjualan kenderaan berkuasa petrol.

Jualan EV di Amerika Syarikat merosot kira-kira 40 peratus pada November, susulan tamatnya kredit cukai pengguna AS$7,500 pada 30 September lalu. Pentadbiran Trump juga membekukan denda terhadap pengeluar automotif yang melanggar peraturan ekonomi bahan api menerusi Rang Undang-Undang Cukai dan Perbelanjaan yang diluluskan pada Julai.

Ford F-150 Lightning mula dikeluarkan pada 2022 dengan sambutan besar, termasuk promosi meluas dalam budaya popular. Namun, jualannya tidak menepati jangkaan, dengan 25,583 unit terjual sehingga November tahun ini, penurunan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Trak T3, yang sepatutnya menjadi teras barisan EV generasi kedua Ford dan dihasilkan di kompleks baharu di Tennessee, kini digantikan dengan pengeluaran trak berkuasa petrol bermula 2029 di kilang sama.

Pengumuman pada Isnin itu secara berkesan menamatkan keseluruhan rancangan EV generasi kedua Ford. Untuk masa depan, syarikat itu akan menumpukan kepada model EV lebih mampu milik, dibangunkan oleh pasukan khas di California, dengan model pertama dijangka berharga sekitar AS$30,000 dan memasuki pasaran pada 2027, dikeluarkan di kilang Louisville.- REUTERS