PUTRAJAYA, 12 Disember – Jualan Perdagangan Borong dan Runcit negara terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatat RM160.9 bilion pada Oktober 2025, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan itu disokong prestasi positif semua subsektor, termasuk perdagangan borong yang naik 7.3 peratus kepada RM71.2 bilion, serta perdagangan runcit meningkat 6.8 peratus kepada RM69.3 bilion.
Subsektor kenderaan bermotor turut mencatat peningkatan 8.2 peratus kepada RM20.4 bilion, selaras kenaikan pendaftaran kenderaan.
“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 9.1 peratus kepada RM27.2 bilion, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah termasuk penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100,” tambah beliau.
Sementara itu, jualan dalam talian juga terus memberangsangkan dengan pertumbuhan 8.7 peratus, manakala aktiviti pembayaran digital melonjak, termasuk transaksi e-money yang meningkat 66.9 peratus kepada RM26.4 bilion, selain penggunaan platform RPP, FPX, kad kredit dan debit yang terus menunjukkan peningkatan ketara.

