Bayaran balik kredit cukai RM4 bilion bantu aliran tunai PKS

KUALA LUMPUR, 13 Disember -Langkah kerajaan mempercepatkan bayaran balik kredit cukai berjumlah RM4 bilion dijangka memberi kelegaan aliran tunai kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berkata, bayaran balik yang lebih pantas membolehkan PKS membuat perancangan kewangan dengan lebih tersusun dan realistik.

“Peniaga dapat membuat unjuran kewangan serta merancang operasi dengan lebih tuntas dan tepat.

Sekali gus, menjadikan perancangan cukai dan dokumentasi lebih tersusun apabila sistem percukaian dilihat berfungsi secara telus, adil dan cekap,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mohamad Faisal berpandangan, langkah itu juga berpotensi meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan komuniti perniagaan.

“Kecekapan bayaran balik cukai mampu menggalakkan pematuhan sukarela apabila peniaga melihat sistem percukaian bertindak balas secara responsif, telus dan adil,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam jangka sederhana dan panjang, percepatan bayaran balik cukai bukan sekadar langkah pentadbiran.

Sebaliknya, ia merupakan alat dasar ekonomi yang berupaya memperkukuh keyakinan pasaran, meningkatkan kualiti pematuhan cukai serta memperkasa daya tahan ekosistem perniagaan negara.