Wilayah Donbas bukan sasaran akhir Putin – ketua dasar luar EU

BRUSSELS, 15 Disember – Pengambilalihan wilayah Donbas oleh Rusia tidak akan menjadi ‘sasaran akhir’ Presiden Vladimir Putin, jelas ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, pada Isnin.

“Kita perlu faham bahawa jika beliau menguasai Donbas, kubu pertahanan jatuh dan mereka pasti akan meneruskan untuk menakluk seluruh Ukraine,” kata Kallas kepada wartawan, sambil menekankan bahawa jika Ukraine tumbang, wilayah lain turut terancam.

Kallas juga mengakui bahawa mencapai persetujuan mengenai pinjaman pampasan untuk Ukraine, berdasarkan aset Rusia yang dibekukan di Eropah, masih menghadapi kesukaran.

Namun, beliau yakin bahawa langkah itu merupakan jalan paling dipercayai dan menegaskan para pemimpin EU akan terus berusaha sehingga keputusan dicapai.

Status wilayah Donbas, yang merangkumi Donetsk dan Luhansk, menjadi titik utama yang menimbulkan kebuntuan dalam rundingan damai di Ukraine.

Sementara itu Menteri Luar Lithuania, Kestutis Budrys menggesa EU meluaskan sekatan terhadap Belarus susulan ancaman hibrid berterusan, termasuk gangguan terbaharu terhadap trafik udara. -REUTERS