WASHINGTON, 12 Disember -Gabenor Washington, Bob Ferguson, mengisytiharkan darurat negeri susulan banjir besar yang memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.
Ferguson berkata kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan segera pihak persekutuan bagi mengukuhkan operasi bantuan.
“Kerajaan negeri telah melakukan segala usaha untuk meyakinkan pihak persekutuan supaya meluluskan pengisytiharan darurat dengan segera,” katanya.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan sungai melimpah di seluruh wilayah barat Amerika Utara, termasuk negeri Washington dan wilayah British Columbia di Kanada.
Penduduk di kawasan selatan Seattle dan Tacoma diarah segera berpindah.
Imej udara menunjukkan ladang dan kawasan kediaman hampir keseluruhannya ditenggelami air.
Sementara itu, bandar Orting mengeluarkan amaran tahap tertinggi.
Amaran tersebut menyatakan terdapat ancaman serius terhadap nyawa dan harta benda serta mengarahkan penduduk supaya meninggalkan kawasan terbabit serta-merta.
Beberapa kawasan di Snohomish, utara Seattle, telah dinaiki air, manakala pusat bandar Sumas turut ditenggelami banjir.
Di seberang sempadan, sebahagian besar Abbotsford di British Columbia turut terjejas.
Menurut platform Drive BC pula, beberapa lebuh raya utama ke Vancouver ditutup di beberapa laluan,
Fenomena “atmospheric river” dari Lautan Pasifik dilaporkan membawa lebih 25 sentimeter hujan di beberapa kawasan.
Walaupun hujan mulai reda semalam, Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat menjangka kesan banjir besar akan berterusan beberapa hari lagi.
Ia berikutan jumlah air yang tinggi masih bergerak melalui sistem sungai.
Agensi itu menjangkakan keadaan banjir besar hingga tahap bencana akan terus berlaku di barat Washington dan barat laut Oregon.
Lebih 60 anggota Washington National Guard sudah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja kecemasan, manakala 200 lagi sedang digerakkan.
Pakar menjelaskan, perubahan iklim yang semakin memburuk akibat pembakaran bahan api fosil mendorong corak hujan ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko ribut dan banjir besar. -AFP

