UNRWA gesa kemasukan bekalan ke Gaza

ISTANBUL, 15 November – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Sabtu menggesa supaya bahan perlindungan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan, berikutan hujan lebat yang membanjiri khemah pelarian dalam keadaan kemanusiaan yang semakin kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • UNRWA mendesak kebenaran masuk bekalan perlindungan ke Gaza susulan banjir dan hujan musim sejuk merosakkan khemah pelarian.
  • Hujan lebat memperburuk keadaan kemanusiaan, memaksa keluarga mencari perlindungan di mana-mana, termasuk khemah sementara.
  • UNRWA menegaskan mereka mempunyai bekalan perlindungan penting untuk membantu orang ramai menghadapi musim sejuk.
  • Pertahanan Awam Gaza melaporkan puluhan khemah di Al-Mawasi, Khan Younis, dibanjiri air.
  • Israel terus menghalang kemasukan khemah dan rumah bergerak, melanggar kewajipan di bawah gencatan senjata 10 Oktober.

“Musim sejuk sudah tiba di Gaza,” menurut kenyataan UNRWA di X seperti dilaporkan Anadolu Ajansi (AA).

“Hujan musim sejuk di Gaza menjadikan keadaan semakin terdesak. Keluarga terpaksa mendapatkan perlindungan di mana sahaja, termasuk di khemah sementara.”

UNRWA turut menegaskan bahawa mereka mempunyai bekalan perlindungan yang sangat diperlukan di Gaza “untuk membantu orang ramai menghadapi musim sejuk.”

Menurut Pertahanan Awam Gaza, puluhan khemah yang menempatkan pelarian Palestin dibanjiri air di Al-Mawasi di selatan bandar Khan Younis.

Sejak awal Jumaat, Semenanjung Gaza berada di bawah pengaruh sistem tekanan rendah yang membawa jisim udara sejuk dan hujan lebat, sekali gus memburukkan lagi penderitaan 1.5 juta penduduk yang dipindahkan di wilayah berkenaan.

Israel terus menghalang kemasukan bahan perlindungan seperti khemah dan rumah bergerak, memungkiri kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Semenanjung Gaza dan memusnahkan wilayah itu. – BERNAMA-ANADOLU