Ukraine berpotensi sertai EU seawal 2027

BRUSSELS, 13 Disember – Ukraine dijangka menyertai Kesatuan Eropah (EU) seawal Januari 2027 di bawah pelan terbaharu yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang dengan Rusia, lapor AFP memetik sumber salah seorang pegawai kanan pada Jumaat.

Menurut sumber itu, pelan berkenaan, yang turut merangkumi cadangan supaya Ukraine membuat penyerahan wilayah kepada Rusia telah mencetuskan pergerakan diplomatik besar-besaran di Eropah dalam beberapa minggu terakhir.

Bagaimanapun, penyertaan Ukraine ke dalam EU lazimnya memakan masa bertahun-tahun dan memerlukan persetujuan sebulat suara daripada semua 27 negara anggota.

Beberapa negara, khususnya Hungary, sebelum ini menentang kemasukan Ukraine.

“Perkara itu dinyatakan dalam pelan tersebut tetapi ia masih tertakluk kepada rundingan, dan Amerika menyokongnya,” kata pegawai berkenaan yang enggan dinamakan.

Sementara itu, negara-negara Eropah serta Ukraine meminta Washington memberikan “jaminan keselamatan” yang kukuh sebelum Kyiv membuat sebarang keputusan melibatkan penyerahan wilayah.

“Kita memerlukan gambaran jelas mengenai jaminan keselamatan yang boleh diberikan Eropah dan Amerika kepada Ukraine sebelum sebarang penyelesaian mengenai isu wilayah diputuskan,” menurut Pejabat Presiden Perancis menjelang mesyuarat di Berlin pada Isnin bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pemimpin Eropah serta ketua EU dan NATO.

Zelensky turut menyatakan keyakinan bahawa Washington mempunyai pengaruh untuk membuka laluan Ukraine menyertai EU.

“Amerika Syarikat boleh mengambil langkah untuk membuka laluan kami ke EU. Presiden AS mempunyai pelbagai instrumen pengaruh, dan ini akan memberi kesan kepada negara-negara yang kini menghalang kami,” katanya kepada media.

Ukraine telah lama berusaha menyertai EU dan melaksanakan pelbagai pembaharuan sejak revolusi pro-Eropah pada 2014, namun masih berdepan isu rasuah yang menjadi prasyarat penting untuk keahlian.

Sementara itu, Kremlin menyatakan kebimbangan bahawa pelan yang kini sedang dipertimbangkan akan “menjadi lebih buruk” berbanding versi asal yang lebih banyak memenuhi tuntutan Rusia.

“Kami merasakan versi yang dibincangkan kini akan diburukkan,” kata pembantu dasar luar Presiden Vladimir Putin, Yuri Ushakov, kepada Kommersant.

Moscow turut mengakui belum melihat versi terkini pelan itu sejak pertemuan antara Putin dan utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner minggu lalu. – AFP